Kenaikan caj penghantaran akan beri impak negatif kepada PMKS, ekonomi digital

4 hours ago 3

PETALING JAYA – Persatuan Perniagaan Mikro Malaysia (MAMBA) berasa bimbang tentang   cadangan pelaksanaan caj penghantaran minimum standard bakal  mengurangkan aktiviti pembelian dalam talian sekali gus memberi kesan ketara dan negatif kepada usahawan mikro tempatan serta ekonomi digital secara keseluruhan.

Kerisauan ini timbul selepas persatuan menganjurkan satu  tinjauan di seluruh negara yang dijalankan dengan melibatkan 720 pengguna dalam talian baru-baru ini.

Keputusan tinjuan tersebut mendapati 89.3 peratus  responden tidak bersetuju dengan pelaksanaan caj penghantaran minimum standard yang lebih tinggi, dengan majoriti memilih kos penghantaran serendah mungkin tanpa mengira jenama kurier.

Ia juga mendedahkan bahawa 93.5 peratus responden berkemungkinan akan mengurangkan atau menghentikan pembelian dalam talian sekiranya harga penghantaran meningkat.

Selain itu, 59 peratus menyatakan mereka akan membeli dengan jumlah yang lebih sedikit sekiranya caj penghantaran minimum ditetapkan.

Mengulas mengenai hasil tinjauan itu, Setiausaha Agung Persatuan Perniagaan Mikro Malaysia, Alvin Low Wei Yan, berkata, penemuan ini mengesahkan apa yang telah disuarakan oleh peniaga kecil sejak beberapa bulan lalu bahawa sebarang kenaikan caj penghantaran berisiko memperlahankan perkembangan sektor e-dagang yang pesat di Malaysia.

“Kita mesti mengelak daripada mewujudkan situasi di mana dasar yang berniat baik akhirnya meminggirkan usahawan mikro yang sebenarnya ingin dibantu oleh kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.

Rancangan Malaysia Ke-13 (2026–2030) yang dilancarkan baru-baru ini menggariskan tumpuan baharu negara terhadap usaha meningkatkan keterangkuman digital, memperkukuh daya saing PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) serta membina rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan. MAMBA menegaskan bahawa mengekalkan pilihan penghantaran yang mampu milik dan fleksibel adalah kunci untuk mencapai matlamat tersebut.

Alvin menerangkan, apabila kos penghantaran meningkat, pihak pertama yang terkesan adalah pengguna yang peka terhadap harga dan peniaga kecil dalam talian yang bergantung kepada mereka.

“Ini secara langsung menjejaskan penyertaan digital dan pertumbuhan pendapatan dalam kalangan peniaga mikro dan butik; kumpulan yang ingin disokong oleh Rancangan Malaysia Ke-13,” jelasnya.

Selain itu, beliau memberitahu, tinjauan tersebut turut mendapati bahawa 80.6 peratus  pengguna memilih kos penghantaran serendah mungkin dan 82.9 peratus  tidak mempunyai pilihan kurier tertentu dan hanya mengambil kira harga penghantaran.

Sebanyak 55.3 peratus berpendapat harga penghantaran semasa adalah berpatutan dan
92.8 peratus  tidak sanggup membayar lebih untuk perkhidmatan kurier yang lebih baik dan pantas

Sehubungan itu, MAMBA menyeru agar satu sesi libat urus diadakan bersama pihak berkepentingan industri bagi memastikan sebarang pembaharuan harga penghantaran adalah adil, berasaskan data, dan tidak mewujudkan halangan yang tidak perlu kepada peniaga kecil atau pelanggan mereka.

“Ketika kita bergerak ke hadapan dengan matlamat pembangunan digital dan PKS, perbincangan mengenai caj penghantaran tidak seharusnya mengabaikan realiti pengguna dan kelestarian peniaga.

“Logistik yang mampu milik adalah tunjang kepada perdagangan dalam talian, khususnya bagi perniagaan mikro,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |