KOTA BHARU – Kerajaan negeri akan mengeluarkan notis sebelum melaksanakan operasi merobohkan sebanyak 128 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bermula dari Pengkalan Kubor, Tumpat sehingga Rantau Panjang.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, operasi itu akan dijalankan dengan kadar segera menerusi kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis.
“Semua tahu bahawa pangkalan haram dibina atas tanah persendirian dan rizab sungai. Jadi, kita akan mengeluarkan notis kepada pemilik pangkalan haram yang berada di atas tanah persendirian.
“Objektif utama kita adalah untuk memastikan kegiatan penyeludupan khususnya dadah tidak lagi berlaku di sempadan Kelantan. Kita akui dadah yang masuk ke negara ini adalah melalui Kelantan. Sebagai barisan hadapan, kita yang paling terkesan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli memberitahu, kerajaan tidak akan memberikan sebarang pampasan kepada pemilik kerana pembinaan struktur pangkalan haram itu dijalankan tanpa kebenaran.
Menurutnya, berkemungkinan pemilik pangkalan haram akan bersetuju dengan tindakan itu dan sudah pasti ada yang tidak bersetuju.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, kerajaan negeri Kelantan telah meluluskan dan memberi kebenaran kepada pihak polis untuk merobohkan sebanyak 128 pangkalan haram di Sungai Golok terutamanya di kawasan Pengkalan Kubor di sini dan Rantau Panjang.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pihaknya sudah menerima surat kebenaran untuk meroboh kesemua pangkalan haram di kawasan sepanjang 45 kilometer itu secara berperingkat.
Menurutnya, sehubungan itu, kerja-kerja merobohkan pangkalan haram itu berkemungkinan akan dijalankan dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE