Kedai telefon warga asing markas cetak slip e-PLKS palsu

7 hours ago 4

PETALING JAYA – Taktik licik sekumpulan warga asing yang menjadikan premis kedai telefon dan kedai runcit sebagai ‘topeng’ bagi kegiatan mengubah suai serta mencetak slip Pas Lawatan Kerja Sementara (e-PLKS) palsu terbongkar.

Kegiatan itu berjaya dikesan selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melakukan serbuan dalam Operasi Khas di sekitar Taman Maluri, di sini, Isnin lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan bermula pukul 8.30 malam itu dijalankan hasil risikan selama dua minggu oleh pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Operasi di empat lokasi tersebut berjaya menahan 16 lelaki warga Bangladesh dan tiga lelaki warga Myanmar berusia antara 18 hingga 43 tahun.

“Semakan mendapati dua lelaki Bangladesh tinggal lebih masa, manakala 14 warga Bangladesh dan tiga warga Myanmar tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas wang tunai RM11,357 dipercayai hasil kegiatan haram itu, tiga pasport Bangladesh, slip e-PLKS, tiga komputer riba, tiga mesin pencetak dan tiga unit rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).

Turut dirampas, dua telefon bimbit, salinan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan lesen Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Katanya, sindiket mengenakan bayaran RM100 untuk setiap slip e-PLKS yang diubah suai mengikut pasport pelanggan, dipercayai beroperasi sejak setahun lalu dengan menyasarkan warga Bangladesh dan Myanmar di Lembah Klang.

“Dua lelaki Bangladesh ditahan mengikut Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63, manakala 12 lelaki Bangladesh dan tiga lelaki Myanmar ditahan di bawah Seksyen 6(3) akta sama.

“Kesemua mereka dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut, manakala seorang lelaki dan empat perempuan warga tempatan serta seorang lelaki warga Bangladesh diberi notis hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |