PETALING JAYA – Isu pemilikan asal baju kebaya kembali menjadi topik panas di media sosial apabila berlaku perbalahan antara netizen Malaysia dan Indonesia di platform Threads, selepas beberapa hantaran berkaitan fesyen tradisional itu tular dan mengundang pelbagai reaksi berbeza.
Pertikaian tercetus apabila seorang pengguna Indonesia, @Radina_rasyasa mendakwa kebaya merupakan pakaian tradisional asal Indonesia dan menyindir seorang pempengaruh yang didakwa memperkenalkan busana tersebut sebagai sebahagian daripada identiti Malaysia.
“Di IG (Instagram) influencer (pempengaruh) Malaysia ini dia bangga-banggakan pakai kebaya. Jelas kebaya khas Indonesia,” tulisnya.
Namun kenyataan itu pantas mengundang reaksi balas daripada netizen Malaysia yang mempertahankan bahawa kebaya turut mempunyai sejarah dan pemakaian meluas di Malaysia.
Seorang pengguna @Pkaaaaa_, menyifatkan tindakan mencetuskan perdebatan tersebut sebagai tidak perlu dan hanya menghangatkan isu sensitif antara dua negara serumpun.
“Buat Threads semata-mata nak hentam pempengaruh Malaysia. Tidur lah dik, rehatkan minda,” katanya.
Dalam masa sama, beberapa netizen Malaysia turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap dakwaan bahawa hanya satu negara memiliki hak terhadap kebaya.
“Semua kau nak claim (tuntut) serabut lah. Ingat Indonesia je ke yang ada kebaya? Malaysia pun ada. Belajar hormat budaya kami juga,” tulis @niadiena.
Pengguna @Muzz_hazin pula meminta agar isu tersebut tidak diperbesarkan dan memberi tumpuan kepada perkara lain yang lebih penting.
“Boleh tak fokus dengan negara sendiri berbanding sibuk bercakap buruk soal negara Malaysia?” katanya.
Sebelum ini, pempengaruh media sosial, Sofea Shra menjadi satu-satunya wakil Malaysia yang menerima jemputan eksklusif untuk menghadiri acara bersama pengasas Huda Beauty iatu Huda Kattan di London.
Sofea turut mengambil peluang memperagakan baju kebaya kepada Huda sekali gus mendapat reaksi positif daripada pengasas jenama produk kecantikan popular itu yang memuji kecantikan serta penampilan wanita Malaysia.
“Saya rasa wanita Malaysia nampak sangat mahal. Mereka nampak sangat elegan dan eksklusif, bukan?
“Saya selalu tengok video wanita Malaysia dan mereka kelihatan sangat elegan serta seperti golongan diraja. Mereka semua nampak macam royal (mewah),” kata Huda. – KOSMO! ONLINE

10 hours ago
6




![[VIDEO] Kereta terbakar di Lebuh Raya Elite, trafik sesak arah selatan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/elite.jpeg)










































