Geng ‘Pusak Merah’ Sarawak tumpas, 23 ahli dicekup

2 hours ago 2

PETALING JAYA – Taktik ganas sekumpulan penjenayah mendapatkan wang perlindungan dengan menyerang premis dan mencederakan mangsa berakhir apabila polis menahan 23 ahli kumpulan itu dalam Op Pusak Merah di Sarawak, bulan lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, operasi dijalankan dengan kerjasama JSJ Kontinjen Sarawak bermula 19 hingga 23 April lalu berjaya menahan 23 suspek lelaki tempatan berusia antara 19 hingga 44 tahun.

Menurutnya, kumpulan diketuai lelaki tempatan berusia 41 tahun itu mempunyai 26 ahli dan aktif sejak tahun 2020.

“Kesemua tangkapan kini ditahan reman mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sehingga 18 Mei ini.

“Turut dirampas dalam operasi tersebut ialah selaras senjata api jenis pump gun, sejumlah peluru 12 bore pelbagai jenama, dua bilah pedang samurai dan dua bilah parang panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis turut mengenal pasti tiga lagi ahli kumpulan yang masih bebas dan usaha mengesan suspek giat dijalankan.

Katanya, siasatan mendapati kumpulan terbabit terlibat dalam kegiatan pemerasan bagi mendapatkan wang perlindungan selain melakukan serangan ke atas premis yang gagal membuat bayaran.

“Mereka juga melakukan ugutan jenayah, mencederakan mangsa serta terbabit dalam pelbagai kesalahan serius bagi memperluaskan pengaruh dan mendapatkan faedah material untuk kumpulan,” katanya.

Menurut beliau, semua suspek mempunyai rekod lampau membabitkan kes bunuh, rompak berkumpulan, khianat dengan api, ugutan jenayah, pecah rumah, curi kenderaan, rumah judi terbuka serta pengedaran dadah.

“Dengan penahanan ahli kumpulan ini, polis berjaya menyelesaikan kira-kira 25 kes dan sekali gus melumpuhkan satu sindiket jenayah kekerasan yang aktif di Sarawak,” katanya.

Tambah beliau, kesemua 26 ahli kumpulan termasuk tiga suspek yang masih bebas akan dituduh mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Pertuduhan dijadual dilaksanakan di Mahkamah Sesyen Kuching pada pukul 2.30 petang hari ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |