KUALA LUMPUR – Kira-kira 35 individu termasuk penghantar makanan warga tempatan ditahan selepas disyaki terbabit dalam sindiket pinjaman wang haram dari Singapura bagi menghantar bungkusan ugutan kepada peminjam.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, tindakan itu hasil operasi bersepadu bersama Pasukan Polis Singapura (SPF) susulan laporan mengenai penghantar makanan dari Malaysia yang dipergunakan sindiket along republik berkenaan.
“Kita sudah tangkap lebih kurang 35 orang melibatkan negara jiran Singapura.
“Tindakan ini masih lagi dibuat secara bersepadu dengan SPF dan kita akan cuba banteras kegiatan ini sebaik mungkin,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini hari ini.
Menurut beliau, kegiatan itu bukan sahaja membabitkan penghantar makanan, malah turut melibatkan penggunaan akaun keldai bagi melindungi kegiatan jenayah terbabit.
Katanya, masyarakat diminta lebih berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya membuat sebarang perjanjian atau perkongsian dengan individu tidak dikenali.
“Pihak polis akan menangkap dan mendakwa mereka termasuk pemilik akaun-akaun tersebut,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan penunggang penghantar barang dari Malaysia didakwa dipergunakan sindiket ceti haram untuk mengganggu dan menakut-nakutkan peminjam ingkar di Singapura dengan menghantar bungkusan mengandungi produk berasaskan babi.
Difahamkan, kebanyakan rider terbabit dipercayai tidak menyedari mereka dijadikan alat sindiket kerana bungkusan dihantar dalam keadaan dibalut rapi tanpa mengetahui kandungannya.
Taktik itu dipercayai menyasarkan peminjam beragama Islam sebagai bentuk ugutan dan tekanan psikologi selepas gagal melunaskan hutang.
Sindiket along yang dipercayai beroperasi dari Johor pula dikatakan beralih menggunakan khidmat penghantaran bebas dalam talian susulan kaedah lama seperti menyimbah cat merah atau mengunci pagar rumah semakin sukar dilakukan di Singapura. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
2















































