KETIADAAN dalam skuad Piala Thomas dan Uber memberi kelebihan tersendiri buat beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk kembali membina momentum menjelang Kejohanan Badminton Malaysia Masters, minggu depan.
Bagi Tang Jie, tempoh hampir sebulan tanpa kejohanan besar dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkemaskan latihan selain memberi ruang kepadanya pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami sebelum ini.
Menurutnya, kecederaan yang dialami menjelang Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China pada April lalu menjadi cabaran besar buat dirinya, terutama apabila masalah sama kembali berulang selepas kembali menjalani latihan.
“Walaupun tidak menyertai Thomas dan Uber, kami tetap fokus latihan untuk cari prestasi terbaik tahun ini. Ini juga kecederaan baharu untuk saya, saya memang belum pernah alami sebelum ini.
“Jadi memang agak sukar sedikit apabila berdepan situasi ini. Akan tetapi, ya, sekarang saya rasa lebih baik,” katanya selepas Majlis Anugerah SAM 2024 di Kuala Lumpur kelmarin.
Tang Jie turut mengakui sokongan diberikan Ee Wei banyak membantu dirinya untuk kembali pulih, terutama ketika melalui tempoh sukar akibat kecederaan tersebut.
“Waktu itu memang saya rasa agak sukar, tetapi saya sangat menghargai pasangan saya yang meminta saya pulih sepenuhnya sebelum kembali ke gelanggang. Dalam tempoh sebulan ini memang bukan mudah untuk kami berdua,” ujarnya.
Sementara itu, Ee Wei percaya tempoh rehat tersebut turut membantu mereka memperbaiki semula persefahaman dan meningkatkan keyakinan menjelang aksi di laman sendiri.
Katanya, Malaysia Masters bakal menjadi platform terbaik untuk mereka bangkit memburu keputusan lebih positif selepas melalui tempoh mencabar sebelum ini.
“Untuk Malaysia Masters juga sama, kami berharap dapat memberikan yang terbaik dan menghadiahkan sesuatu yang membanggakan Malaysia, terutama apabila bermain di laman sendiri,” katanya.

6 hours ago
5















































