Baru habis rekrut, berebut nak ‘angkat’ Honda

2 hours ago 2

PETALING JAYA – Seorang ejen jualan kereta berkongsi kebimbangannya apabila semakin ramai golongan muda yang baru sahaja tamat latihan asas pasukan beruniform dilihat tergesa-gesa mahu memiliki kereta baharu, khususnya jenama Honda, walaupun baru melangkah ke alam pekerjaan.

Perkongsian itu dibuat menerusi hantaran di Threads apabila ejen berkenaan menceritakan pengalamannya berurusan dengan pelanggan muda yang rata-ratanya baru mendapat penempatan kerja dengan gaji bulanan sekitar RM2,000 tapu sudah mahu membeli kereta mencecah lebih RM85,000.

Menurutnya, situasi tersebut semakin kerap berlaku apabila golongan berkenaan beranggapan memiliki kereta jenama popular sebagai simbol kejayaan selepas berjaya menamatkan latihan dan memperoleh pekerjaan tetap.

“Baru habis rekrut, baru nak mula kerja, tapi ramai dah tanya model Honda, siap kira bulanan untuk kereta harga RM85,000 ke atas.

“Bukan tak boleh beli, tetapi kena tengok kemampuan sebenar. Gaji awak baru sekitar RM2,000 – RM2,300. Belajarlah menyimpan untuk masa depan dahulu, jangan letakkan separuh gaji semata untuk bayar bulanan kereta. Mulalah dengan hanya berulang naik motosikal atau sekadar kereta bawah RM40,000,” katanya.

Tambah ejen tersebut, ramai pembeli muda kurang mengambil kira komitmen kewangan lain seperti bayaran sewa rumah, perbelanjaan keluarga, simpanan kecemasan, penyelenggaraan kenderaan, insurans serta kos sara hidup yang semakin meningkat.

Katanya, ansuran bulanan kereta yang tinggi boleh memberi tekanan kewangan, lebih-lebih lagi kepada mereka yang masih di peringkat awal kerjaya dan belum mempunyai kestabilan pendapatan.

“Tak salah nak pakai Honda atau kereta idaman, tapi biarlah pada waktu yang tepat. Bina dulu kewangan, umur 20, 21, 22 tahun sangat muda, tak perlu bersaing siapa ada kereta mewah, tapi bersainglah untuk ada simpanan besar untuk tempoh sekurang-kurangnya lima tahun pertama.

“Elakkan hidup semata-mata untuk bayar komitmen kereta,” ujarnya.

Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-rata bersetuju dengan pandangan berkenaan dan mengingatkan anak muda supaya tidak terlalu mengejar gaya hidup.

Seorang pengguna, @akubukanfinance, berkata ramai anak muda terlalu memikirkan imej berbanding realiti kewangan sebenar.

“Gaji baru nak rasa, tapi komitmen dah macam orang 10 tahun kerja. Lepas tu mengeluh hujung bulan tak cukup duit. Tup tup (tiba-tiba) buat pinjaman peribadi,” katanya.

Turut senada, pengguna, Faiz berpendapat tekanan sosial menjadi antara faktor utama golongan muda mahu memiliki kereta mahal secepat mungkin.

“Sekarang ramai takut nampak tak ‘berjaya’ kalau pakai kereta biasa. Kahwin duit pinjaman tak apa, janji kereta Honda,” tulisnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |