14,000 kes anak tidak didaftarkan setiap tahun

2 hours ago 2

KULIM – Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih merekodkan sehingga 14,000 kes ibu bapa yang gagal mendaftarkan kelahiran anak setiap tahun sehingga menimbulkan pelbagai masalah berkaitan dokumentasi dan akses kepada kemudahan asas.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, isu itu perlu diselesaikan segera kerana ketiadaan dokumen pengenalan diri boleh menjejaskan masa depan kanak-kanak terbabit.

“Sepanjang tiga tahun saya di KDN, kita masih lagi menguruskan antara 13,000 hingga 14,000 kes setahun melibatkan ibu bapa yang langsung tidak mendaftarkan kelahiran anak.

“Ini akan menjadi permulaan kepada pelbagai masalah sekiranya tidak diperbetulkan lebih awal,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni di Pusat Khidmat Masyarakat beliau di Taman Sejahtera, Lunas di sini hari ini.

Kata beliau, pada tahun lalu sahaja kerajaan berjaya menyelesaikan hampir 13,000 kes melibatkan pelajar yang telah berada dalam sistem persekolahan arus perdana tetapi masih tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Menurutnya, perkara itu berjaya diselesaikan hasil kerjasama antara KDN melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam tempoh kira-kira enam bulan selepas senarai pelajar terbabit diserahkan.

“Daripada segi urusan harian pula, JPN sentiasa berdepan ribuan kes pendaftaran lewat kelahiran akibat pelbagai faktor. Kita bukan sahaja menunggu orang ramai datang ke pejabat, sebaliknya turut melaksanakan program outreach bagi mencari sendiri kes-kes seperti ini,” ujarnya.

Beliau berkata, antara usaha dilaksanakan termasuk membantu golongan anak jalanan di kawasan Chow Kit di Kuala Lumpur yang sebelum ini tercicir daripada sistem dokumentasi negara.

“Anak-anak jalanan yang terbiar ini kita bantu selesaikan masalah dokumen mereka dan kini mereka sudah berada dalam sistem persekolahan kendalian KPM,” katanya.

Tambahnya, tindakan segera penting kerana pelbagai urusan harian termasuk persekolahan, rawatan hospital dan bantuan kebajikan kerajaan kini memerlukan penggunaan MyKad.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |