KUALA LUMPUR – Penyanyi Yuna menzahirkan rasa syukur apabila diumumkan sebagai artis Malaysia pertama yang berjaya meraih 1 bilion penstriman dalam platform Spotify baru-baru ini.
Menurut pemilik nama penuh Yunalis Zarai, 40, kejayaan tersebut menjadi hadiah terbaik dalam kamus kerjaya seninya.
“Alhamdulillah sepanjang bergelar anak seni, saya tak pernah jangka untuk meraih kejayaan ini.
“Sebenarnya saya sendiri tak tahu tentang berita tersebut, peminat yang kongsikan kepada saya.
“Walaupun saya dikatakan sebagai artis besar tetapi kejayaan ini seperti tidak nyata namun selagi ada orang dengar lagu saya, itu cukup menggembirakan dan seperti satu bonus untuk diri saya,” katanya kepada Kosmo! Online selepas majlis pelancaran lagu kolaborasinya bersama Aizat Amdan dan Sekumpulan Orang Gila (SOG) berjudul Ajar Aku di sini, hari ini.
Penyanyi lagu Dan Sebenarnya itu juga mengakui kejayaan tersebut menjadi penanda aras baharu dalam kerjaya seninya.
“Ini ibarat salah satu hadiah terindah selepas bertahun-tahun berkarya dan pada masa sama mungkin permulaan baharu untuk saya.
“Satu bilion strim ini membuktikan walaupun saya bergerak secara bebas tapi saya masih mampu melakukannya,” katanya.
Ditanya sama ada kejayaan ini memberi satu tekanan, dia menegaskan hanya mahu memberi fokus kepada karya yang memberi kepuasan berbanding mengejar angka dalam mana-mana platform.
“Bagi saya, angka yang besar adalah satu pencapaian tetapi kemudian saya hanya fikir apa lagi yang boleh dihasilkan yang boleh membawa makna besar dalam hidup?” katanya lagi.
Terdahulu, Spotify mengumumkan Yuna menjadi artis Malaysia pertama yang mencecah 1 billion stream di platform muzik Spotify.
Berdasarkan perkongsian yang dikongsikan peminat, Yuna dilihat mempunyai lebih 3.7 juta pendengar bulanan serta jumlah pengikut melebihi 476,000 pengguna.
Antara negara yang mencatatkan jumlah pendengar tertinggi untuk karya Yuna termasuk Amerika Syarikat, Malaysia, Indonesia, Singapura dan Australia. – KOSMO! ONLINE

6 hours ago
5















































