KUALA LUMPUR – Akta Majlis Amanah Rakyat (Mara) 1966 perlu dipinda secara menyeluruh bagi memastikan institusi itu terus kekal relevan dan mempunyai sistem tadbir urus korporat yang lebih kukuh selaras perkembangan semasa.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, akta sedia ada digubal dalam konteks era 1960-an ketika Mara masih beroperasi dalam skala kecil dan konsep tadbir urus moden belum wujud.
Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan pemusatan kuasa kepada Pengerusi dan Majlis Mara terlalu besar tanpa pemisahan jelas antara fungsi lembaga pengarah dan pengurusan.
“Pada tahun 1960-an tidak ada istilah ‘good corporate governance’ ataupun tadbir urus korporat yang baik. Sebab itu dalam Akta Mara 1966, kuasa banyak tertumpu kepada Pengerusi dan Majlis Mara.
“Sedangkan hari ini Mara bukan lagi organisasi kecil. Mara menguruskan aset bernilai RM23 bilion, memiliki 345 institusi pendidikan selain sektor pembangunan usahawan dan pelaburan yang besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjelaskan keperluan pindaan Akta Mara bagi memperkukuh struktur pentadbiran institusi berkenaan di sesi konsultasi bersama NGO berhubung RUU Mara 2026 di ibu negara hari ini.
Asyraf berkata, sejak digubal pada 1966, Akta Mara hanya mengalami lima pindaan kecil yang kebanyakannya tertumpu kepada perubahan struktur jawatan dan komposisi majlis.
Katanya, pindaan itu tidak menyentuh secara mendalam aspek tadbir urus moden yang kini menjadi elemen penting dalam pengurusan institusi besar.
“Pindaan sebelum ini hanya melibatkan tafsiran jawatan seperti Timbalan Pengerusi, Ketua Pengarah dan komposisi majlis.
“Walaupun ada pindaan signifikan pada 2002 yang membolehkan Mara menubuhkan syarikat bagi melaksanakan aktiviti tertentu, namun kerangka pemikirannya masih berpaksikan tadbir urus era 1960-an,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE

2 hours ago
3















































