KAJANG – Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun parah selepas motosikal ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Persimpangan Jalan Persiaran Seri Putra 2, Bandar Seri Putra di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian membabitkan motosikal jenis Yamaha FZ150i dan Nissan Serena kira-kira pukul 7 pagi.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati MPV dipandu wanita berusia 38 tahun itu sedang membelok ke lorong kanan dari arah Sekolah Rendah Agama (SRA) Bandar Seri Putra menghala ke Pangsapuri Seri Melati.
“Ketika berada di tengah persimpangan, motosikal ditunggang mangsa yang datang dari arah bertentangan telah melanggar bahagian mudguard hadapan sebelah kiri MPV berkenaan.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian rahang muka dan kepala, manakala pemandu tidak cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa dibawa ke Hospital Serdang sebelum dipindahkan ke Hospital KPJ Ampang untuk rawatan lanjut.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kajang, Sarjan Shah Zumei Mohd Hussein di talian 010-2428670 bagi membantu siasatan.
“Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan lalu lintas ketika berada di jalan raya,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang pelajar sekolah menengah di daerah Bangi terlibat dalam kemalangan membabitkan motosikal di hadapan Anjung Suasana, Persiaran Seri Putra 2.
Menerusi perkongsian di Facebook Pekan Bangi, kejadian dipercayai berlaku berhampiran Pintu 2 kawasan berkenaan dengan mangsa dilaporkan berada dalam keadaan separuh sedar selepas kemalangan itu. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
3
















![[VIDEO] Nik Zawawi beri penjelasan isu ceramah kontroversi](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-12-at-11.14.48-PM.jpeg)






























