Piastri diingat jangan ‘terperangkap’ tawaran Red Bull

8 hours ago 8

LONDON – Bintang muda Australia, Oscar Piastri diberi amaran supaya tidak membuat keputusan terburu-buru meninggalkan pasukan McLaren biarpun terus dikaitkan dengan perpindahan sensasi ke Red Bull Racing.

Spekulasi mengenai masa depan Piastri kembali hangat selepas McLaren dilaporkan bakal membawa masuk jurutera perlumbaan lama Max Verstappen, Gianpiero Lambiase sebagai ketua pegawai perlumbaan selewat-lewatnya pada 2028.

Situasi itu mencetuskan khabar angin kemungkinan berlaku pertukaran pelumba antara Piastri dan Verstappen, meskipun Ketua Pegawai Eksekutif McLaren, Zak Brown sebelum ini menegaskan beliau gembira dengan gandingan sedia ada.

Bekas jurutera perlumbaan Ferrari, Rob Smedley bagaimanapun percaya Piastri tidak wajar mengambil risiko meninggalkan pasukan yang sedang berada di landasan terbaik untuk memburu lebih banyak kejuaraan dunia.

“McLaren kini sedang memasuki era terbaik mereka. Mereka menang kejuaraan pengeluar dan berada pada tahap untuk terus bersaing merebut gelaran dunia dalam beberapa musim akan datang,” katanya.

Menurut Smedley, ramai pelumba sebelum ini membuat keputusan meninggalkan pasukan kompetitif semata-mata mahu menjadi pelumba nombor satu, namun langkah tersebut jarang memberi pengakhiran positif.

“Adakah anda mahu meninggalkan pasukan hebat semata-mata untuk ke pasukan yang lebih lemah tetapi anda menjadi pelumba utama di sana?

“Saya sudah melihat perkara itu berlaku berkali-kali dan saya tidak pernah nampak ia berakhir dengan baik. Saya juga tidak pernah lihat pelumba menjadi lebih gembira selepas membuat keputusan seperti itu,” jelasnya.

Piastri sebelum ini mengetuai carta kejuaraan dunia Formula Satu musim lalu sebelum terlepas peluang meraih gelaran sulung kepada rakan sepasukan, Lando Norris, manakala Verstappen menamatkan musim di tempat kedua. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |