TAIPING – Majlis Perbandaran Taiping (MPT) memaklumkan keadaan gajah jantan Malaysia, Kelat yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji di Osaka, Jepun adalah stabil dan sihat.
Yang Dipertua MPT, Mohamed Akmal Dahalan berkata, perubahan tingkah laku yang diperhatikan terhadap Kelat ketika ini adalah berkait dengan fasa ‘turun minyak’ iaitu keadaan biologi semula jadi yang lazim dialami gajah jantan matang.
“Dalam tempoh berkenaan, peningkatan hormon testosteron boleh menyebabkan Kelat menjadi lebih aktif, sensitif atau agresif berbanding kebiasaan, namun keadaan itu adalah normal dan sentiasa berada dalam pemantauan rapi penjaga zoo serta pegawai veterinar.
“Sepanjang tempoh itu, beberapa langkah pengurusan khas dilaksanakan termasuk pemantauan tingkah laku harian, pemeriksaan fizikal berkala, pengasingan terkawal serta pemantauan pengambilan makanan, air dan output najis serta urin,” katanya di sini hari ini.
Mohamed Akmal turut menafikan dakwaan kononnya Kelat mengalami masalah mata, sebaliknya menjelaskan perubahan yang kelihatan pada bahagian mata haiwan itu berpunca daripada perubahan fisiologi semasa fasa musth, khususnya pembengkakan pada temporal gland.
Dalam masa sama, beliau berkata, dakwaan kononnya berlaku aktiviti ‘force breeding’ terhadap Kelat juga adalah tidak benar dan perkara itu sama sekali tidak dibenarkan berdasarkan syarat yang dipersetujui dalam memorandum persefahaman (MoU) antara pihak terlibat.
Beliau berkata, pihak Tennoji Zoo turut memaklumkan serpihan gading milik Kelat yang ditemui di dalam kawasan kurungannya dipercayai tertanggal secara semula jadi akibat penggunaan harian.
“Hasil pemeriksaan veterinar mendapati tiada kecederaan serius atau pendarahan berlaku dan keadaan Kelat kekal stabil,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohamed Akmal berkata, dua lagi gajah Malaysia di zoo berkenaan iaitu Dara dan Amoi turut berada dalam keadaan baik dengan pemantauan kesihatan, pemakanan serta aktiviti harian dijalankan secara berterusan. – KOSMO! ONLINE

5 hours ago
5















































