KUALA LUMPUR – Dua layangan kad merah mewarnai aksi separuh akhir kedua Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) antara Buriram United dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Buriram, sebentar tadi.
Walaupun menang 2-1, hajat Harimau Selatan untuk layak ke final lebur dan terpaksa merelakan kemaraan Buriram United apabila kelab gergasi Thailand itu memperoleh kejayaan 4-3 secara agregat.
Selangor FC akan menjadi lawan Buriram United pada aksi final yang dijadualkan berlangsung 20 dan 27 Mei ini selepas The Red Giants atasi kelab Vietnam, Nam Dinh FC 4-1 secara agregat.
Seakan menepati jangkaan, pertemuan dua kelab terbaik di rantau Asia Tenggara ini berlangsung sengit hingga menyaksikan perlawanan diheret ke masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 secara agregat.
Terdahulu, JDT yang tewas 1-3 dalam perlawanan pertama, 6 Mei lalu terus memberikan tekanan kepada tuan rumah namun terpaksa menanti sehingga masa tambahan babak pertama untuk membuka jaringan menerusi sepakan penalti Bergson Da Silva.
Ketika tuan rumah mula menggandakan serangan, minit ke-62 menyaksikan Marcos Guilherme bijak menghidu peluang untuk meledak gol kedua JDT sekali gus menjadikan perlawanan bertambah menarik apabila kedua-dua pasukan terikat 3-3 secara agregat.
Minit ke-74, penjaga gol Harimau Selatan, Ahmad Syihan Hazmi tampil cemerlang apabila sempat menghulurkan tangan kanannya untuk menepis percubaan jarak dekat Suphanat Mueanta malah pertahanan JDT juga cemerlang untuk segera mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya.
Ahmad Syihan terus menghadirkan kekecewaan buat pasukan tuan rumah selepas cemerlang menafikan tandukan Goran Causic pada minit k-81 manakala tindakan susulan Peter Zulj sekadar menggegar palang gol.
Lapan minit selepas aksi masa tambahan dimulakan, Kingsley Schindler berjaya merobek gawang JDT namun selang tiga minit selepas itu, Buriram United dihimpit tekanan apabila penyerangnya, Guilherme Bissoli diarahkan keluar padang selepas menerima kad kuning kedua.
Sebaik aksi memasuki minit ke-115, Buriram United hilang seorang lagi pemain, kali ini membabitkan layangan kad merah kepada Causic selepas dikesan mengasari Nazmi Faiz Mansor. – KOSMO! ONLINE

1 hour ago
3
















![[VIDEO] Nik Zawawi beri penjelasan isu ceramah kontroversi](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-12-at-11.14.48-PM.jpeg)






























