Saya layan dia seperti adik sendiri, begini saya kena – Shiha Zikir

14 hours ago 7

PETALING JAYA – Dikhianati tanpa sedar, penyanyi Shiha Zikir terkilan dengan tindakan bekas pekerja yang pernah dilayan dengan baik namun tergamak menyebarkan fitnah terhadap dirinya.

Shiha atau nama sebenarnya, Nurshiha Mohamad Zikir, 39, berkata, perbuatan tersebut dimaklumkan sendiri oleh orang sekeliling yang sebelum ini pernah berurusan dengannya.

“Terima kasih banyak-banyak kepada pihak yang pernah bekerjasama dengan saya atau produksi Shiha Zikir Empire dan menunjukkan bukti tentang apa yang bekas staf saya lakukan.

“Patutlah ada yang sudah tidak mengikuti saya. Rupa-rupanya ada perkara yang terjadi di luar pengetahuan saya. Saya bukan marah, tetapi lebih kepada terkilan.

“Saya melayan dia seperti adik sendiri dan cuba membantu dalam pelbagai perkara dengan sehabis baik, tetapi dibalas begini. Dalam fasa kami tiada apa-apa masalah, rupa-rupanya dia fitnah saya di belakang,” katanya menerusi perkongsian di platform Threads.

Penyanyi juga usahawan makanan itu turut terkejut selepas individu sama mendakwa dia menghina serta memperlekehkan pihak tertentu bagi memburukkan namanya.

“Bayangkan, dia boleh memberitahu seseorang yang bekerjasama dengan saya cakap ‘pekerja awak ini pencacai!’ Astaghfirullah, panjang saya mengucap. Saya tak pernah terlintas merendah-rendahkan sesiapa.

“Bukan fitnah itu sahaja, dia siap berkata, ‘saya cakap makanan awak tidak sedap! Dia sampai dah baran dekat set’. Saya tidak pernah mengamuk hanya disebabkan makanan.

“Orang yang menyampaikan berita ini beritahu dia membenci saya disebabkan mulut individu tersebut dan dia tergerak hati untuk menjelaskan semuanya,” ujarnya.

Susulan itu, Shiha berharap mana-mana pihak yang pernah berkomunikasi dengan individu berkenaan agar dapat menghubunginya bagi mendapat kepastian.

“Saya sangat faham dan kalau saya berada di tempat dia pun, saya akan kecewa dengan berita yang disampaikan.

“Jadi saya mohon kepada semua yang pernah berkomunikasi dengan si polan, jika ada perkara tidak manis, sila maklumkan kepada saya supaya saya dapat menjelaskan semula.

“Ya Allah, pertama kali saya jumpa staf yang macam ini. Depan lain, belakang lain. Ini kira sudah memburukkan nama saya ke?,” katanya.

Sebelum ini, penyanyi lagu Minta Ampun itu memohon bantuan netizen menjejaki bekas pekerjanya yang tidak dapat dikesan selepas didakwa menyalahgunakan kenderaan syarikat atas tujuan peribadi sehingga mengakibatkan kemalangan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |