PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan kononnya pihaknya menghalang mana-mana individu daripada membuat aduan berkaitan rasuah.
SPRM dalam kenyataan berkata, dakwaan tersebut tidak benar dan disifatkan sebagai cubaan mewujudkan persepsi negatif terhadap prosedur penguatkuasaan serta tatacara keselamatan yang diamalkan suruhanjaya itu.
Menurut SPRM, pihaknya sentiasa terbuka menerima sebarang aduan dan maklumat berkaitan rasuah daripada mana-mana pihak tanpa mengira kedudukan atau latar belakang.
“Bagaimanapun, setiap proses pengaduan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) serta protokol keselamatan yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan premis, kelancaran urusan rasmi dan perlindungan maklumat.
“Kawalan kemasukan ke premis SPRM adalah amalan standard yang dilaksanakan secara konsisten kepada semua pengunjung dan tidak bersifat diskriminatif atau bertujuan menghalang mana-mana pihak membuat laporan,” katanya hari ini.
Menurutnya, premis SPRM turut tertakluk kepada Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 [Akta 298] yang memperuntukkan hanya individu mempunyai kebenaran, pas atau permit sah dibenarkan memasuki kawasan berkenaan.
SPRM berkata, tiada sebarang isu gender seperti didakwa dalam proses rakaman aduan atau pengambilan keterangan.
“Pegawai yang menjalankan tugas tertakluk kepada profesionalisme, etika dan tatacara siasatan yang ditetapkan di bawah undang-undang serta peraturan dalaman Suruhanjaya.
“SPRM menolak sekeras-kerasnya cubaan memanipulasi SOP keselamatan dan prosedur penguatkuasaan bagi membina naratif kononnya Suruhanjaya ini cuba menyekat atau menghalang proses pengaduan,” katanya.
Kata SPRM, pihaknya kekal komited melaksanakan tanggungjawab secara profesional, bebas dan berintegriti selaras dengan peruntukan undang-undang serta prinsip keadilan. – KOSMO! ONLINE

6 hours ago
5
















![[VIDEO] Nik Zawawi beri penjelasan isu ceramah kontroversi](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-12-at-11.14.48-PM.jpeg)






























