Alliance Bank sedia dana daripada SME SRF bantu PKS, mikro terjejas

7 hours ago 5

PETALING JAYA – Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank)  turut menyertai Kemudahan Bantuan Penstabilan PKS (SME SRF) yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bertujuan untuk menyediakan akses pembiayaan khusus bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk perusahaan mikro dalam menghadapi cabaran ekonomi akibat konflik berterusan di Asia Barat.

SME SRF adalah sebahagian daripada inisiatif pembiayaan bernilai RM5 bilion yang ditubuhkan oleh BNM untuk membantu perniagaan berdaya maju menguruskan gangguan aliran tunai jangka pendek.

Di bawah kemudahan ini, PKS yang layak boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM750,000 dengan tempoh sehingga lima tahun, pada kadar pembiayaan maksimum 3.75 peratus setahun (termasuk yuran jaminan), serta disokong dengan jaminan sehingga 80 peratus daripada sama ada Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) atau Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam, berkata, PKS Malaysia menunjukkan kecekapan yang luar biasa dan kekal sebagai tulang belakang ekonomi negara dengan menyokong perniagaan dan komuniti di seluruh negara.

“Kami sedar ramai yang beroperasi dalam persekitaran mencabar dengan kos meningkat dan ketidakpastian berterusan menjejaskan operasi harian.

“Melalui Kemudahan Bantuan Penstabilan PKS ini, kami berhasrat untuk menyuntik kecairan tepat pada masanya dan menyediakan sokongan praktikal bagi membantu perniagaan meningkatkan daya tahan, mengurus aliran tunai dan memenuhi komitmen kewangan.

“Selain pembiayaan, kami turut melengkapkan pelanggan dengan penyelesaian digital dan sokongan nasihat, serta menggalakkan mereka yang menghadapi tekanan kewangan untuk tampil awal bagi meneroka pilihan bantuan yang tersedia,” katanya dalam kenyataan.

Inisiatif ini melengkapi ekosistem penyelesaian PKS Alliance Bank yang sedia ada dan menyeluruh.

Bank menawarkan pelbagai produk kewangan yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan kecairan segera dan menyokong kesinambungan perniagaan, termasuk SME Express Financing, yang menyediakan akses pantas kepada modal kerja dengan pembiayaan tanpa cagaran sehingga RM500,000.

“Bersama sokongan nasihat holistik dan keupayaan digital, Alliance Bank kekal komited untuk memperkasakan PKS dengan penyelesaian yang tepat pada masanya, mudah diakses dan praktikal bagi membantu mereka pulih, menyesuaikan diri dan berkembang dengan lebih berdaya tahan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |