PETALING JAYA – Malaysia menyuarakan bantahan keras terhadap keputusan unilateral Norway membatalkan lesen eksport peluru berpandu antikapal (NSM) kepada Malaysia dan sistem pelancar berkaitannya yang sebelum ini diperuntukkan untuk kegunaan negara.
Menurut laman web syarikat Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA), perolehan NSM dimeterai antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan KDA pada April 2018 dengan nilai kontrak 124 juta euro (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam kapal LCS baharu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantahan itu disampaikan sendiri kepada Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Støre menerusi perbualan telefon berhubung tindakan yang disifatkan tidak boleh diterima itu.
Menurut beliau, alasan Norway yang mendakwa pembatalan lesen eksport tersebut dibuat demi melindungi keselamatan negara berkenaan tidak dapat diterima memandangkan Malaysia telah mematuhi setiap kewajipan kontrak sejak 2018.
“Malaysia sudah memenuhi setiap obligasi di bawah kontrak ini sejak 2018 dengan penuh teliti, setia dan tanpa sebarang keraguan. Namun, Norway nampaknya tidak merasakan perlu untuk membalas dengan penghormatan dan iktikad baik yang sama,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Anwar berkata, keputusan Norway itu dijangka memberi kesan besar terhadap tahap kesiapsiagaan operasi pertahanan negara, khususnya membabitkan program pemodenan Kapal Tempur Pesisir (LCS).
“Ia juga pasti membawa implikasi lebih luas terhadap keseimbangan strategik serantau. Kontrak yang dimeterai adalah dokumen yang suci dan mengikat. Ia bukan sekadar cebisan kertas yang boleh diperlakukan sesuka hati.
“Jika pembekal pertahanan Eropah merasakan mereka berhak mungkir daripada perjanjian tanpa sebarang akibat, maka nilai mereka sebagai rakan strategik akan lenyap sama sekali,” tegasnya.
Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan akan bertemu rakan sejawatnya dari Norway di Singapura akhir bulan ini bagi mendapatkan penjelasan berhubung keputusan mengejut kerajaan negara itu menyekat lesen eksport NSM kepada Malaysia.
Mohamed Khaled dilapor berkata, pertemuan itu juga akan digunakan untuk menyatakan kekesalan Kerajaan Malaysia terhadap tindakan Norway yang membatalkan penghantaran aset berkenaan, hanya beberapa hari sebelum tarikh yang dijadualkan pada Mac lalu.
Sebelum ini, Kementerian Luar Norway dilaporkan menarik balik beberapa lesen eksport berkaitan teknologi tertentu sebagai sebahagian daripada usaha memperketat kawalan eksport negara tersebut. – KOSMO! ONLINE

8 hours ago
6















































