Dilema Ancelotti menyenaraikan Neymar di Piala Dunia

8 hours ago 6

RIO DE JANEIRO – Pengendali Brazil, Carlo Ancelotti mengakui dia kini berdepan tugas sukar untuk memuktamadkan senarai pemain ke Piala Dunia bulan depan, terutamanya membabitkan status bintang, Neymar.

Meskipun Neymar memegang status sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman buat skuad Selecao, kedudukannya kini menjadi tanda tanya susulan faktor usia yang mencecah 34 tahun selain dihimpit sejarah kecederaan panjang.

Ancelotti yang juga bekas pengurus Real Madrid menjelaskan, beliau kini dalam fasa menilai antara faktor sentimen dan keperluan praktikal bagi memastikan juara dunia lima kali itu mampu tampil dengan intensiti tinggi di pentas berprestij berkenaan.

“Apabila anda perlu membuat pilihan, anda perlu mengambil kira pelbagai perkara. Neymar adalah seorang pemain penting buat negara ini kerana bakat yang selalu dia tunjukkan.

“Namun dia juga memiliki masalah, namun sedang bekerja keras untuk pulih. Sejak kebelakangan ini, dia makin meningkat dan sering bermain.

“Jadi, sudah pasti ia bukan sesuatu yang mudah untuk saya membuat keputusan. Yang pasti, kami perlu mempertimbangkan kebaikan dan keburukan secara lebih teliti,” katanya.

Isu pemilihan Neymar turut mencetuskan perdebatan di Brazil apabila rakan sepasukan dilaporkan mula melobi agar pemain itu dipanggil semula, namun sebahagian peminat pula gusar sekiranya fizikal pemain itu tidak lagi mampu mengikut rentak taktikal moden Ancelotti.

Mengulas mengenai tekanan luar, pengendali kelahiran Itali itu menegaskan beliau tetap dengan pendiriannya untuk membuat keputusan secara objektif.

“Saya tahu Neymar cukup disayangi, bukan hanya dikalangan pemain tetapi juga peminat. Ini juga menjadi satu faktor kerana kami akan mempertimbangkan keadaan ini dan bagi saya, adalah perkara biasa apabila pemain menyatakan pendapat mereka.

“Saya bertuah kerana semua orang memberikan nasihat kepada saya tetapi orang yang tepat untuk membuat keputusan adalah saya sendiri,” katanya. -AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |