PETALING JAYA – Negeri Selangor terus mengekalkan kedudukan sebagai negeri paling padat di Malaysia apabila merekodkan jumlah penduduk tertinggi sebanyak 7.44 juta orang pada suku tahun pertama (ST1) 2026.
Berdasarkan laporan Perangkaan Demografi Mengikut Negeri, Suku Tahun Pertama (ST1) 2026 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Selangor menyumbang 21.6 peratus daripada keseluruhan populasi negara yang dianggarkan mencecah 34.37 juta penduduk setakat ST1 tahun ini.
Selain populasi tertinggi, Selangor turut merekodkan jumlah kelahiran hidup paling tinggi dengan 17,990 kelahiran atau 19 peratus daripada keseluruhan kelahiran hidup di Malaysia.
Angka itu jauh mengatasi negeri lain termasuk Johor yang merekodkan 11,487 kelahiran hidup, diikuti Sabah sebanyak 9,800 kelahiran.
Bagaimanapun, di sebalik kadar kelahiran yang tinggi, Selangor juga mencatatkan jumlah kematian tertinggi di Malaysia dengan 8,042 kes atau 16.4 peratus daripada keseluruhan kematian nasional.
Jumlah itu meletakkan Selangor di kedudukan teratas bagi statistik kematian, mengatasi Johor dengan 6,024 kematian serta Sabah sebanyak 4,323 kematian.
Secara keseluruhan, Malaysia merekodkan 94,807 kelahiran hidup pada ST1 2026 berbanding 97,045 pada tempoh sama tahun lalu.
Dalam tempoh sama, jumlah kematian di seluruh negara turut menurun kepada 47,157 kes berbanding 49,863 kes pada ST1 2025.
Sementara itu, Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan jumlah kelahiran hidup paling rendah dengan hanya 294 kelahiran atau 0.3 peratus daripada keseluruhan negara.
Bagi statistik kematian terendah pula, Wilayah Persekutuan Putrajaya merekodkan hanya 81 kematian atau 0.2 peratus.
Johor dan Sabah masing-masing kekal sebagai negeri kedua dan ketiga tertinggi dari segi jumlah penduduk dengan 4.22 juta dan 3.77 juta orang. – KOSMO! ONLINE

6 hours ago
6















































