PETALING JAYA – Tindakan murni seorang pemuda dipuji kerana sanggup melepaskan tempat duduk bersebelahan tingkap (window seat) demi kegembiraan seorang warga emas.
Menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Threads oleh Bashir_Fauzi, dia menceritakan bagaimana dia pada asalnya telah menempah tempat duduk tersebut untuk kegunaan sendiri, namun terdetik untuk memberikannya kepada seorang pak cik yang duduk bersebelahan dengannya.
Menurut pemuda itu, keputusan tersebut dibuat selepas mengetahui bahawa itu merupakan pengalaman pertama warga emas berkenaan menaiki pesawat.
“Dari berlepas (takeoff) sampailah mendarat, dia tak berhenti tengok luar tingkap. Sebelum turun, dia sempat berterima kasih.
“Terima kasih nak, pak cik dapat tengok awan dari atas, lepas ini tak tahu sempat naik lagi atau tak,” kata pak cik itu kepadanya.
Tambahnya lagi, detik ringkas tersebut memberi kesedaran kepadanya bahawa sesuatu yang dianggap kecil bagi kita, mungkin membawa makna yang cukup besar buat orang lain.
“Tiba-tiba, ‘window seat’ itu rasa jauh lebih bermakna. Sesetengah pemandangan membawa erti yang lebih mendalam buat orang lain,” ujarnya lagi.
Dia juga tidak mengharapkan sebarang balasan, sebaliknya sekadar berdoa agar sekiranya ibu bapanya berada dalam situasi yang sama, akan ada insan lain ingin membantu dengan ihsan yang serupa.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut memberi reaksi positif dan memuji tindakan pemuda berkenaan.
“Tak semua orang boleh buat macam apa yang awak buat. Terima kasih orang berhati mulia,” kata Orang_Ulu.
“Saya sebagai kru kabin sentiasa menghargai penumpang yang sanggup berkorban tempat duduk sendiri untuk diberikan kepada penumpang lain. Terima kasih,” jelas Nabeella.h.
“Awak sangat baik, semoga Allah ganti pemadangan indah pak cik itu dengan berganda- ganda keindahan dalam kehidupan awak,” tambah Hattadolmat_ pula. – KOSMO! ONLINE

5 hours ago
5















































