Bekas renjer hutan kumpul tengkorak gajah, 55 tanduk rusa sejak 1986

7 hours ago 5

TUARAN – Kegiatan seorang bekas renger hutan yang disyaki mengumpul rangka dan pelbagai bahagian haiwan hidupan liar sejak tiga dekad lalu terbongkar dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Wokok Batangan Batu 3, Jalan Timbok, di sini hari ini.

Serbuan kira-kira pukul 7.15 pagi itu dijalanlan sepasukan pegawai daripada Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman bersama Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL).

Komander WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman, Datuk Mohd. Zaki Ashar berkata, hasil serbuan berjaya menahan lelaki Kadazan Dusun berusia 60 tahun termasuk merampas pelbagai jenis bahagian hasil haiwan hidupan liar yang dilindungi.

“Aktiviti pengumpulan bahagian hasil haiwan yang dilindungi bermula semasa suspek berkhidmat sebagai renjer hutan sejak 1986 sebelum bersara pilihan pada 2019 kerana masalah Kesihatan.

“Hasil soal siasat, suspek mendedahkan memperoleh bahagian hasil haiwan tersebut dengan membeli daripada penduduk kampung di kawasan pedalaman Sabah, selain mendapatkan mana-mana bahagian haiwan yang ditemui untuk dijadikan koleksi peribadi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd. Zaki berkata, antara rampasan yang dibuat membabitkan 55 pasang tanduk rusa, tiga batang sumbu badak, seekor bangkai ular sawa, enam bangkai kulit ular sawa, satu tengkorak burung enggang serta empat tulang, dua gigi dan empat gading gajah.

“Selain itu, dua tengkorak babi hutan, tiga pasang tanduk tambadau, satu tengkorak beruang, satu tengkorak gajah, dua hempedu beruang, 330 keping sisik tenggiling, dua pasang taring babi hutan serta enam pasang tanduk kijang.

“Kesseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM589,230 manakala nilai sebenar sitaan direkodkan RM550,100,” ujarnya.

Tambahnya, suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat JHL Sabah untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) dan Seksyen 41(2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 Sabah. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |