TAIPING – Seorang wanita berusia 37 tahun di sini kerugian RM572,130 setelah menjadi mangsa kes pelaburan mata wang kripto secara online yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita warga tempatan yang bekerja sebagai jurubahasa persendirian terbabit semalam kira-kira pukul 4.19 petang.
Beliau berkata, mangsa menyatakan bahawa dia telah diperdaya dan ditipu oleh satu sindiket kes pelaburan matawang kripto secara dalam talian yang tidak wujud melalui laman sosial Instagram.
“Hasil siasatan awal, pihak polis mendapati pada 10 Ogos lalu kira-kira pukul 7.17 malam, semasa berada di alamat rumah milik mangsa, seorang lelaki yang juga warganegara China memperkenalkan diri sebagai ‘Yang Yuting’ (suspek) di laman sosial Instagram.
“Pada masa yang sama, suspek telah memberikan nombor telefon dan mereka telah berkomunikasi melalui aplikasi Whatsapp,” katanya di sini hari ini.
Mohamad Nasir berkata, suspek memaklumkan kepada mangsa bahawa dia ada melabur dalam satu pelaburan matawang kripto yang menjanjikan pulangan sebanyak 20 peratus.
Beliau berkata, setelah mendengar penjelasan lanjut daripada suspek, mangsa telah berminat untuk menyertai pelaburan tersebut.
“Suspek kemudiannya telah menghantar satu link pelaburan dan telah mengajar mangsa bagaimana cara untuk membuat pelaburan. Mangsa diminta untuk melabur sebanyak AS$2,000 iaitu bersamaan RM8,740 sebagai pelaburan pertama mangsa.
“Pada 22 Ogos kira-kira pukul 10.09 malam, mangsa telah melakukan transaksi pindahan wang secara dalam talian ke satu akaun syarikat sebanyak RM8,740,” katanya.
Mohamad Nasir berkata, untuk pelaburan pertama, mangsa telah mendapat pulangan keuntungan sebanyak AS$2280.47 (RM9,595).
“Oleh kerana mangsa percaya pelaburan ini bakal menerima pulangan lumayan seperti mana yang dijanjikan, mangsa telah menggandakan nilai pelaburannya.
“Antara tarikh 26 Ogos sehingga tarikh 5 September lalu, semasa berada di rumah mangsa telah melakukan 12 kali transaksi pindahan wang secara dalam talian ke dalam sembilan akaun yang berbeza melibatkan jumlah sebanyak RM572,130,” katanya.
Mohamad Nasir berkata, setelah selesai membuat kesemua transaksi itu, mangsa diminta lagi memasukkan wang untuk menambah nilai pelaburan tetapi mangsa tidak mempunyai wang yang mencukupi.
“Suspek telah mengarahkan mangsa untuk membuat pinjaman bank tetapi mangsa tidak mahu kerana sedar bahawa dirinya telah ditipu dan dia membuat laporan polis.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu) dan siasatan masih dijalankan,” katanya. – KOSMO! ONLINE