Jangan terlalu selesa undian mudah

3 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik diingatkan supaya berwaspada biarpun mendapat undian mudah pada Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, Perancis bermula 25 hingga 31 Ogos ini.

Bekas juara dunia itu mendapat rehat ekstra sehari apabila diberikan ‘bye’ di pusingan pertama dan bertemu sama ada beregu Sepanyol, Daniel Franco-Rodrigo Sanjurjo atau Christopher Grimley-Matthew Grimley dari Scotland.

Bekas pemain beregu lelaki No. 1 dunia, Tan Boon Heong memberi amaran kepada Aaron-Wooi Yik supaya tidak mengambil mudah cabaran yang bakal dihadapi pada kejohanan tersebut kerana ia mampu menjadi perangkap berbahaya.

“Sekiranya mendapat undian mudah dalam kejohanan, biasanya fokus pemain akan mudah jatuh. Oleh itu, saya harap Aaron-Wooi Yik jangan leka kerana kesilapan kecil boleh menghukum mereka.

“Apabila bertemu lawan kuat, kita akan lebih bersedia tetapi jika rasa mudah, pemain-pemain berpotensi melakukan kesilapan. Undian seperti ini sangat jarang (berlaku) dan ia wajib dimanfaatkan,” katanya.

Cabaran sebenar Aaron-Wooi Yik dijangka bermula di suku akhir apabila mungkin bertemu beregu India, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy ataupun gandingan China, Liang Wei Keng-Wang Chang.

Untuk rekod, beregu No. 2 dunia itu mempamerkan aksi cukup konsisten sepanjangan musim ini apabila meraih tiga gelaran termasuk Kejohanan Badminton Asia, Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura.

Justeru, Boon Heong yakin sekiranya kedua-dua pemain itu dapat mengekalkan rentak konsisten pada Kejohanan Dunia nanti, mereka mampu untuk meneruskan kemaraan ke perlawanan akhir.

“Kalau kejohanan-kejohanan besar, biasanya mereka memiliki keyakinan lebih tinggi. Kita pun tidak pasti bagaimana keadaan mereka nanti tetapi apa yang paling penting, perlu melepasi dua pusingan awal,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |