Jangan jadikan kes Zara Qairina senjata politik ‘menikam’ orang lain – PM

8 hours ago 4

PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan mana-mana pihak untuk tidak menjadikan kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir sebagai senjata politik untuk menikam orang lain.

Perdana Menteri menegaskan, tindakan mempergunakan penderitaan keluarga mangsa demi kepentingan politik adalah perbuatan tidak berakhlak dan merosakkan kewarasan dalam masyarakat.

Beliau berkata, ini termasuk tindakan seorang pakar patologi yang memberikan gambaran palsu berhubung kematian pelajar itu dan menyebarkan di media sosial sehingga meracuni pemikiran jutaan orang.

“Kemudian kita jadikan ini sebagai satu senjata politik untuk menikam orang lain. Kalau benar (ada salah laku) tak apa. Mana boleh kita mainkan kematian seseorang itu.

“Apatah lagi menipu dan menghasut begitu rupa. Tetapi demikian keadaannya. Dan sebab itu kita harus ada kewarasan. Kita dalam Islam ni kita sebut Tabayyun (meneliti dahulu sebelum menyebarkan),” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini.

Menurut Anwar, kerajaan telah mengambil serius beberapa kes buli membabitkan kanak-kanak, termasuk kematian Zara Qairina di Sabah dan Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman di Kelantan, selain isu buli yang berlaku di sekolah, universiti mahupun di tempat kerja.

Anwar menegaskan, amalan buli yang berbentuk penderaan fizikal atau psikologi perlu dihentikan segera kerana ia adalah budaya songsang yang merosakkan kesejahteraan masyarakat.

Beliau menjelaskan, mesyuarat peringkat tertinggi telah diadakan bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus, selain memperbaiki kelemahan yang wujud termasuk dari segi kelewatan proses siasatan.

“Tentunya ada beberapa kesilapan yang dikenal pasti dalam proses siasatan, kelewatan dan sebagainya. Tetapi percayalah, kita cuba atasi dengan sebaik mungkin,” katanya.

Kes kematian Wan Ahmad Faris melibatkan kepentingan awam, sama seperti kes pelajar Tingkatan 1 di Sabah, Zara Qairina Mahathir, 13, yang dipercayai turut melibatkan unsur buli.

Wan Ahmad Faris, 16, pelajar Tingkatan Empat sebuah sekolah agama di Kok Lanas ditemukan mati tergantung di tandas asrama pada Disember 2013.

Pada awalnya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, namun pada Jun 2016, Mahkamah Koroner Kota Bharu memutuskan bahawa mangsa telah dibunuh.

Susulan itu, keluarga Allahyarham memfailkan saman sivil terhadap Kerajaan Persekutuan, Ketua Polis Negara dan pegawai penyiasat atas dakwaan kecuaian serta pelanggaran tanggungjawab, selain menuntut ganti rugi am, khas dan lain-lain. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |