KUALA LUMPUR – “Jangan hanya mencari pekerjaan, tetapi ciptalah pekerjaan,” demikian pesan Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh, Prof. Dr. Muhammad Yunus kepada golongan muda.
Pengasas Grameen Bank itu menegaskan bahawa dunia memerlukan lebih ramai usahawan, penyelesai masalah dan pencipta peluang baharu, bukan sekadar pekerja yang bergantung kepada pasaran kerja sedia ada.
“Manusia tidak miskin kerana tiada bakat atau impian. Mereka miskin kerana sistem tidak pernah memberikan mereka peluang yang adil. Sistem kewangan kita dibina untuk melayani golongan kaya, bukan yang miskin.
“Jadi, mengapa menunggu kerja datang? Mengapa tidak mencipta satu? Mengapa tidak memulakan sesuatu yang membantu komuniti anda sama ada dalam kesihatan, pendidikan, pertanian, atau teknologi? Pemikiran sebegini mampu mengubah dunia,” katanya ketika berucap selepas menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Perniagaan Sosial) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.
Muhammad Yunus turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat Bangladesh, khususnya golongan muda dan wanita yang menurutnya menjadi tulang belakang perubahan sosial negara itu.
Beliau menegaskan reformasi ekonomi, pendidikan, teknologi, serta pilihan raya bebas dan telus menjadi fokus utama kerajaan pimpinannya.
Mengulas mengenai hubungan dua hala, beliau menyifatkan Malaysia sebagai rakan strategik yang telah lama membantu pembangunan sumber manusia dan teknologi di Bangladesh.
Katanya, kerjasama masa depan berpotensi diperluas dalam industri semikonduktor, ekonomi halal, tenaga boleh diperbaharui, dan keusahawanan.
“Saya menyeru anda semua, terutamanya anak muda, untuk bermimpi besar, berfikir dengan berani, dan tidak takut gagal. Dunia memerlukan pemimpin dan penyelesai masalah, bukan sekadar pengikut,” pesannya.
Terdahulu, Canselor UKM, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Perniagaan Sosial) kepada Muhammad Yunus sempena Konvokesyen Khas di Auditorium Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE