Isteri susukan 7 anak, suami hadiahkan rawatan gigi RM26,000

4 hours ago 2

PETALING JAYA – Demi menghargai pengorbanan isteri yang mengandung dan menyusukan tujuh anak, seorang suami sanggup membelanjakan RM26,000 bagi rawatan implan gigi isterinya.

Dalam hantaran di Facebook, Mohd. Yazid Ismail berkata isterinya mengalami masalah gigi rapuh dan kerosakan pada beberapa batang gigi geraham.

Mohd. Yazid percaya ia akibat kekurangan kalsium selepas melalui proses penyusuan penuh kepada semua anak mereka.

“Ramai ibu yang menyusukan anak mengalami masalah sama. Kalsium banyak disalurkan kepada anak, menyebabkan gusi lemah dan gigi mudah rosak. Dalam kes isteri saya, beberapa batang gigi geraham terpaksa dicabut,” katanya.

Beliau menambah, gigi geraham amat penting untuk proses pencernaan makanan dan jika tidak dijaga dengan baik, ia boleh mengundang masalah kesihatan lain.

“Walaupun kosnya mahal, RM26,000 hanya untuk dua batang gigi, saya sanggup kerana ia untuk kebaikan isteri. Pada saya, kesihatan dan senyuman isteri tiada nilainya,” ujarnya.

Pasangan itu memilih rawatan implan yang memerlukan prosedur tambahan seperti ‘bone grafting’, menyebabkan proses rawatan mengambil masa beberapa bulan.

“Setakat ini, tapak besi sudah ditanam dan kami menunggu temujanji seterusnya pada bulan Oktober untuk pemasangan gigi kekal. Insya Allah saya akan kongsikan pengalaman rawatan ini dengan lebih terperinci nanti,” ujarnya.

Beliau turut mengakui ada pilihan lebih murah melalui hospital kerajaan iaitu sekitar RM4,000 sebatang, namun proses menunggu giliran agak lama.

“Bagi saya, setiap sen yang dikeluarkan demi kesihatan isteri akan diganti Allah dengan keberkatan dalam keluarga kami.

“Dia telah berkorban tubuh badan untuk anak-anak, jadi sudah menjadi tanggungjawab saya untuk menjaga kebaikannya,” katanya.

Sehingga kini hantarannya mendapat lebih 5,600 tanda suka dan lebih 2,000 perkongsian.

Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang memuji tindakan si suami yang mementingkan penjagaan kesihatan isteri walaupun hanya gigi.

“Terharu, saya cuma nak cakap terima kasih tuan sebab menghargai pengorbanan isteri. Mudahan saya pun ada rezeki nak buat implan,” komen Ariff.

“Alhamdulillah. Tidak ramai suami sedar dan hargai pengorbanan isteri,” komen Nur Adilah. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |