BANDAR GAZA – Tentera Israel bersiap sedia memulakan pemindahan paksa penduduk Palestin dari Bandar Gaza, kata pegawainya semalam ketika serangan terbaharu Rejim Zionis membunuh sekurang-kurangnya 40 orang di dalam khemah dan yang sedang mencari bantuan.
Akhbar The Guardian melaporkan, pengumuman itu dibuat beberapa hari selepas Israel menyatakan bahawa ia akan melancarkan fasa serangan baharu untuk merampas Bandar Gaza, dalam rancangan yang menimbulkan kebimbangan antarabangsa.
“Penduduk Gaza akan dibekalkan dengan khemah dan peralatan perlindungan lain bermula Ahad (hari ini) sebelum memindahkan mereka dari zon pertempuran ke selatan enklaf bagi memastikan keselamatan mereka,” kata tentera Israel kelmarin.
Ia tidak menyatakan bila pengusiran besar-besaran itu akan bermula.
Dalam pengumuman tersebut, tentera Rejim Zionis berkata, peralatan perlindungan akan dipindahkan melalui lintasan Kerem Shalom di selatan Gaza oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan organisasi bantuan antarabangsa lain selepas diperiksa oleh kakitangan kementerian pertahanan.
Al-Mawasi yang diumumkan sebagai zon selamat, kini merupakan salah satu kawasan paling padat penduduk di Gaza selepas Israel mengusir orang ramai ke kawasan terbiar itu.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu minggu lalu berkata, Israel merancang untuk meluaskan serangan ketenteraannya yang turut merangkumi kawasan itu, di samping Bandar Gaza dan ‘kem pusat’. Ia merujuk kepada kem pelarian Nuseirat dan Bureij yang dibina di tengah Gaza.
Sejak kebelakangan ini, penduduk Bandar Gaza melaporkan bahawa serangan udara lebih kerap menyasarkan kawasan perumahan, terutamanya di timur dan selatan serta termasuk kejiranan Zeitun.
Jurucakap pertahanan awam Gaza, Mahmud Bassal berkata, keadaan di Zeitun semakin merosot dengan penduduk tidak mempunyai akses kepada makanan dan air di tengah-tengah pengeboman besar-besaran Israel. – AGENSI