HUN 2025 berjaya capai objektif perkasa usahawan tempatan

3 days ago 12

KUALA LUMPUR – Cabaran perniagaan pada masa kini berdepan dengan persaingan sengit bukan hanya dalam peringkat domestik tetapi juga pasaran antarabangsa termasuk perkembangan sengit daripada perkembangan pesat teknologi e-dagang, digital, media sosial dan kecerdasan buatan (AI).

Sehubungan itu, Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia (DPUM), Datuk Seri Abu Hassan Mohd Nor menyeru para usahawan diminta berani mencuba, berinovasi dan memanfaatkan trend terbaharu ini untuk mengembang serta mengukuhkan kedudukan syarikat pada masa sekarang.

“Kita perlu tahu kejayaan perniagaan tidak hanya bergantung kepada strategi, tetapi juga nilai teras seperti integriti, kejujuran dan amanah yang menjadi kunci kelestarian perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Hari Usahawan Negara (HUN) 2025 di perkarangan parkir Stadium Nasional Bukit Jalil di sini baru-baru ini.

HUN anjuran DPUM sedang berlangsung hingga hari ini padat dengan pelbagai aktiviti dan acara menarik bertujuan untuk menghargai dan memperkasa komuniti usahawan.

Abu Hassan menerangkan, penganjuran kali ini diangkat sebagai satu pencapaian penting pihaknya dalam memperkenalkan acara itu sebagai platform mengiktiraf sumbangan usahawan serta memberi peluang meningkatkan mutu dan kualiti perniagaan ke tahap lebih tinggi.

Tambah beliau, tema Usahawan Nadi Negara dipilih bertepatan dengan cabaran dan peluang dunia keusahawanan masa kini.

Lebih menarik, terdapat penyertaan daripada delegasi beberapa buah negara seperti Vietnam, Hong Kong, China dan Taiwan.

Selain itu, majlis pelancaran HUN turut menyaksikan beberapa sesi menandatangani memorandum persefahaman antara DPUM dengan beberapa rakan strategik antaranya bersama Persatuan Persahabatan Vietnam Malaysia, Persatuan Perniagaan Antarabangsa Promas Malaysia (PROMAS) dan beberapa agensi lain. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |