Harga makanan dunia melonjak bulan lalu

5 days ago 10

PARIS – Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) mengumumkan harga global bagi komoditi makanan asas bulan lalu meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh lebih dua tahun, lapor portal berita Qatar Tribune semalam.

Dalam laporan dikeluarkan pada Jumaat lalu, FAO menyatakan, Indeks Harga Makanan yang merupakan penanda aras global untuk menjejak harga komoditi makanan mencapai 130.1 mata pada Julai 2025.

Menurut FAO, ia merupakan peningkatan 1.6 peratus berbanding Jun lepas.

Ia juga angka tertinggi sejak Februari 2023, walaupun masih 18.8 peratus lebih rendah daripada paras tertinggi yang direkodkan pada Mac 2022 selepas perang antara Russia dan Ukraine meletus.

Menurut agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu, peningkatan harga daging dan minyak sayuran pada Julai lepas mengimbangi penurunan ketara harga bijirin, produk tenusu dan gula.

Indeks harga daging mencatat rekod baharu 127.3 mata, naik 1.2 peratus daripada rekod sebelumnya pada Jun lalu.

Ia berikutan permintaan tinggi dari China dan Amerika Syarikat (AS) yang mendorong kenaikan harga daging daging lembu dan biri-biri, kata FAO.

Import daging lembu AS meningkat selepas kemarau menyebabkan penurunan jumlah ternakan lembu domestik.

Beijing pula membawa masuk daging lembu yang mencipta rekod tahun lalu susulan peningkatan penduduk walaupun siasatan rasmi gagal mengenal pasti punca sebenar kenaikan import barang makanan itu di China

Dalam pasaran daging lain, harga ayam meningkat sedikit selepas pembeli utama menyambung semula import ayam Brazil selepas negara itu mendapatkan semula status bebas selesema burung.

Sebaliknya, harga daging babi menurun disebabkan bekalan yang mencukupi dan permintaan lebih rendah, khususnya di Kesatuan Eropah, tambah FAO.

Indeks minyak sayuran FAO melonjak kepada 166.8 mata, meningkat 7.1 peratus berbanding bulan sebelumnya dan merupakan paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun.

Menurut FAO, kenaikan itu dipacu oleh harga lebih tinggi bagi minyak sawit, soya dan bunga matahari susulan permintaan kukuh di peringkat global dan bekalan yang ketat.

Harga bijirin pula jatuh 3 peratus berbanding bulan sebelumnya disebabkan oleh ramalan pengeluaran yang lebih baik di negara-negara pengeksport utama seperti Kazakhstan dan Ukraine.

Harga eksport jagung juga menurun berikutan jangkaan peningkatan pengeluaran di Argentina dan Brazil.

Sementara itu, harga produk tenusu meningkat 1.2 peratus dan indeks gula naik 1.9 peratus, sebahagiannya disebabkan hasil tuaian di Brazil pada Mei lalu lebih rendah daripada jangkaan, demikian menurut FAO.

Pertubuhan itu mengesahkan bahawa peningkatan kukuh harga daging dan minyak sayuran pada bulan lalu telah mengatasi penurunan harga bijirin, tenusu, dan gula.

Indeks harga beras bagaimanapun turun 1.8 peratus bulan lalu, dipacu oleh bekalan eksport yang mencukupi dan permintaan import yang lemah.

Keadaan itu menyebabkan harga makanan global mencatatkan trend peningkatan yang ketara dan berkemungkinan berterusan dalam bulan-bulan akan datang. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |