GEORGE TOWN – Seramai hampir 1,000 peserta yang juga penyokong pasukan Gergasi Merah, Liverpool menyertai acara Mighty Red Champ20ns Run 2025 di Lebuh Pantai di sini, hari ini.
Program kelolaan kelab peminat Liverpool di negara ini, The Mighty Red Malaysia Supporters Club yang dihadiri penyokong pasukan itu dari seluruh pelusuk negeri.
Presiden kelab, Badurudin Syed Mohamed berkata, penganjuran kali kedua itu sememangnya mendapat sambutan menggalakkan daripada kira-kira hampir 1,000 penyokong peminat pasukan Gergasi Merah seluruh Malaysia.

“Rata-raya peserta datang dari pelbagai negeri termasuk kehadiran peminat dari luar negara seawal pukul 6 pagi tadi.
“Selain itu, acara tersebut juga diadakan bagi memperingati kematian pemain Liverpool, Diogo Jota, yang maut dalam kemalangan jalan raya bersama adiknya di Sepanyol 3 Julai 2025.
“Angka 20 dipilih sempena pasukan itu menjulang piala ke-20 jersi nombor 20 yang dipakai oleh Jota sebagai penghormatan atas pemergiannya,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, pada aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris 2025/26, Liverpool menang 4-2 ke atas Bournemouth, awal pagi semalam.
Tahun lalu, Liverpool membelasah Tottenham Hotspur 5-1 untuk memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris sekali gus menyamai rekod kejuaraan liga buat kali ke-20.
Sementara itu, peserta pertama ke garisan penamat, P. Sharavana, 18, memberitahu, dia berjaya merekodkan masa minimum iaitu 22 minit pada jarak larian 5 kilometer dari Lebuh Pantai.
Bekas penuntut Kolej Matrikulasi Pulau Pinang berkata, dia tidak menyangka menjadi peserta terawal selepas tiba sebelum lima minit acara berlangsung.
“Saya tidak sempat panaskan badan dan nekad menghabiskan masa larian dalam tempoh pantas, mendahului peserta lain,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE