Hadiah bermakna dapat tajaan Yayasan UEM untuk sambung belajar

2 hours ago 2

KUALA LUMPUR – “Saya bersyukur sangat ada orang nak percaya dengan saya, bagi sokongan dan tajaan untuk saya sambung belajar,” demikianlah kata-kata Nur Qalidah Farhana Mohd. Azman, 18, ketika mengetahui dirinya terpilih sebagai salah seorang penerima Biasiswa Global Yayasan UEM 2025.

Anak kelahiran Muar, Johor itu juga tidak menyangka kisahnya memperolehi keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang disiarkan Kosmo! pada April lalu mendapat perhatian ramai pihak termasuk Yayasan UEM.

Selain teruja, anak bongsu daripada lima beradik ini sebak kerana impiannya untuk melanjutkan pelajaran sejak dahulu lagi akhirnya tercapai meskipun datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

“Saya ada beritahu ibu hajat nak sambung belajar. Tapi masa itu ibu minta masa sedikit sebab nak kumpul duit sebab ibu bekerja sebagai tukang sapu di sekolah, ayah pula bekerja sebagai tukang baiki rumah.

“Tetapi saya percaya untuk tidak berputus asa, tekad mahu ubah nasib keluarga. Jadi sebabitu saya cuba nasib hantar beberapa permohonan biasiswa sejurus dapat keputusan SPM,”katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Nur Qalidah bersama ahli keluarganya.

Nur Qalidah yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah, Melaka,berkata, dia telah menghantar sekurang-kurangnya enam permohonan tajaan biasiswa bagi membolehkan dirinya melanjutkan pelajaran sebelum dihubungi sendiri oleh pihak Yayasan UEM.

“Dalam banyak-banyak permohonan, Yayasan UEM adalah yang paling awal hubungi beritahu saya untuk ikuti temuduga dan sebagainya.

“Mereka (Yayasan UEM) bimbing saya dari segi penyediaan dokumen dan lain-lain. Selepas mengikuti temuduga, akhirnya saya terpilih sebagai salah seorang penerima.

“Dulu mimpi nak belajar dalam negara sahaja, tetapi kini tidak sabar untuk ke luar negara. Universiti yang saya nak pergi adalah Imperial College, London,”luahnya sebak.

Sebelum ini Kosmo! pernah melaporkan kisah Nur Qalidah yang bekerja separuh masa di sebuah gerai di hentian rehat dan rawat (R&R) Pagoh, Johor, demi mengumpul duit untuk melanjutkan pelajaran.

Kini, Nur Qalidah merupakan penuntut A-Level di Kolej Yayasan UEM (KYUEM) dalam jurusan kejuruteraan elektrik sebelum bersedia menyambung pelajaran ke luar negara secara tajaan penuh.

Sementara itu, ibu Nur Qalidah, Endon Dol Alim, 53, menzahirkan rasa syukur kepada Yayasan UEM kerana memilih anaknya mengikuti program tajaan biasiswa tersebut.

Katanya, ia merupakan rezeki terindah buat satu-satu anak perempuannya yang sememangnya sangat tekun menuntut ilmu sejak dari kecil lagi.

“Anak saya memang saya kenal sangat suka belajar dari kecil lagi. Dunia dia hanya belajar dalam bilik sampai kadang-kala makan pun saya kena ingatkan.

“Ini merupakan rezeki terindah buat kami, disaat kami kurang kemampuan untuk membolehkan Nur Qalidah sambung belajar. Saya bersyukur sangat-sangat,” katanya.

Nur Qalidah bersama rakan-rakan seperjuangan yang turut menerima biasiswa daripada Yayasan UEM.

Selain Nur Qalidah, empat lagi penerima tajaan biasiswa luar negara juga dalam bidang kejuruteraan elektrik ialah Muhammad Aqil Aqmar Mohd. Nazrol Hisham dan Aqashah Azri.

Selain itu, penerima lain ialah Justin Low Chun Xian yang akan menuntut dalam bidang sains data dan Khor Sheng Zhong (jurusan kejuruteraan mekanikal), kesemuanya hadir semasa majlis penyampaian anugerah bersama Datuk Amran Hafiz Affifudin, Pengarah Urusan UEM Group dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UEM.

Biasiswa Global Yayasan UEM ditubuhkan pada tahun 2005, telah memberi peluang kepada pelajar dari pelbagai latar belakang di seluruh negara untuk melanjutkan pengajian ke luar negara.

Antara universiti-universiti terkemuka termasuklah Harvard, Cambridge, London School of Economics, Imperial College, University of Edinburgh dan banyak lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan UEM, Aishah Nor berkata, pihaknya percaya bahawa pendidikan adalah asas penting bagi peluang individu dan pertumbuhan ekonomi.

“Biasiswa kami bukan sahaja membantu meringankan beban perbelanjaan pendidikan, malah kami turut menyediakan sokongan dan peluang kepada pelajar cemerlang daripada keluarga berpendapatan sederhana untuk merealisasikan cita-cita akademik dan kerjaya mereka.

“Para penerima biasiswa kami adalah bakat muda masa depan negara dan kami akan terus melabur serta membimbing mereka kerana suatu hari nanti, merekalah yang akan memimpin dan membantu membentuk masa depan serta pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya.

Bagi Muhammad Aqil, dia tidak menyangka akan terpilih sebagai salah seorang penerima biasiswa Yayasan UEM kerana ramai calon yang hadir pada sesi temuduga.

“Ini peluang keemasan yang tidak semua orang dapat. Jadi saya berazam untuk memperolehi keputusan cemerlang dalam A-Level. Saya impi untuk sambung belajar di Universiti Manchester, England,” katanya yang berasal dari Sungai Buloh, Selangor.

Buat Aqashah pula, dia menjadikan bapanya yang merupakan seorang pegawai polis sebagai inspirasi untuk berbakti semula kepada masyarakat khususnya buat warga Batu Pahat, dimana dia dan sekeluarga menetap. 

“Sebab itu saya berusaha belajar bersungguh-sungguh, dapatkan biasiswa dan mengambil bidang kejuruteraan elektik. Cita-cita saya untuk mengadakan satu sistem solar untuk warga Batu Pahat yang sering mengalami masalah bekalan elektrik,” katanya anak bongsu daripada tiga beradik itu. 

Berpandangan yang sama, Justin Low berkata, ibu bapanya yang bekerja sebagai guru sering menjadi inspirasinya untuk belajar bersungguh-sungguh dari bangku sekolah. 

Menyedari jurusan sains data bukannya mudah, Justin Low juga berazam untuk melibatkan diri secara aktif dalam persatuan sains dan matematik di kolej agar dapat berfikir secara kritis serta keluar dari zon selesanya. 

Buat Khor Sheng, dia tidak pernah menyalahkan takdir apabila dibesarkan oleh ibu saudaranya sejak kecil kerana keperluan pendidikan dan harian sering dipenuhi.

Buat Khor Sheng, membuat keputusan untuk mengambil bidang kejuruteraan mekanikal bagi mengubah nasib infrastuktur masyarakat di Sabah Sarawak khususnya selain berharap dapat menyambung pelajaran ke luar negara. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |