KUALA LUMPUR – Seorang guru bahasa Inggeris memberi alasan dia sekadar mahu membuat kandungan (content) dengan mendakwa Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, dimasukkan ke dalam mesin basuh.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu selepas siasatan polis dilakukan ke atas guru tersebut berhubung dakwaan tidak benar itu.
“Kita tangkap seorang guru yang buat content TikTok bahawa adik Zara ini dibunuh dengan cara dia masuk dalam ‘washing machine’ (mesin basuh). Bila kita soal siasat kenapa mesti buat begitu? ‘Saya nak buat content saja’ katanya.
“Guru bahasa Inggeris, kita tangkap dan kalau Peguam Negara bersetuju akan tuduh. Tapi ‘content’ dia itu ditelan bulat-bulat oleh sebahagian besar rakyat, di dalam dan di luar dewan ini.
“Membawa kepada sentimen yang membengkak dan membentuk gelombang. Yang cipta ‘content’ itu, kita tangkap. Dan bila kita tanya, dia nak buat ‘content’ dia kata. Tapi cara dia susun ayat seolah-olah begitulah punca kematian.
“Di sinilah saya nak sebut, kita tak boleh berdasar kepada sentimen dan emosi,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam masa sama, beliau menegaskan, keadilan dan kebenaran mesti berdasarkan kepada fakta dan proses undang-undang sah, tidak boleh berasaskan kepada fakta separuh masak, tuduhan rambang yang tidak bertanggungjawab.
“Kita tolak kalau ada mainkan sentimen politik, kalau ada yang buat spekulasi dan dakwaan jahat. Inilah kita berpendapat bahawa isu kematian anakanada kita, Zara Qairina ini hendak saya ketengahkan.
“Saya faham dalam bab ini ada persamaan antara kita semua. Kita nak cari kebenaran dan kita nak tegakkan keadilan. Ini adalah motivasi yang mempertemukan kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE