Gillian muncul Rookie of the Year PWBA

1 day ago 9

KUALA LUMPUR – Atlet boling wanita negara, Gillian Lim menutup musim sulung Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) dengan bergaya apabila dinobatkan sebagai Rookie of the Year.

Pemain berusia 26 tahun itu menjadi rakyat Malaysia pertama menerima anugerah berprestij tersebut selepas berakhirnya Terbuka Pepsi PWBA yang merupakan pusingan kedua terakhir musim ini.

Gillian mengumpul 37,320 mata untuk menamatkan saingan di kedudukan ke-22 keseluruhan, tertinggi dalam kalangan semua pemain rookie, meninggalkan pencabar terdekat dari Amerika Syarikat, Jade Cote di tempat ke-42 dengan 23,615 mata.

Lebih manis, Gillian turut menjadi pemenang antarabangsa pertama bagi kategori tersebut sejak dimenangi pemain Kanada, Valerie Bercier pada 2019.

Sepanjang musim, Gillian menampilkan prestasi konsisten dengan empat penamat kelompok 10 terbaik, tempat kelima Terbuka Rock ‘n’ Roll, ketujuh Terbuka Wanita Amerika Syarikat serta kelapan Kejohanan Akhir Jelajah minggu lalu.

Pada saingan penutup musim di ABC Gates Bowl, New York, Gillian mengumpul 5,725 jatuhan pin untuk berada di tempat kelapan daripada 24 peserta, mengetuai cabaran Malaysia biarpun terlepas slot lima terbaik ke final stepladder.

“Saya berbesar hati menerima anugerah Rookie of the Year. Ia adalah cerminan kerja keras, sokongan rakan sepasukan dan dorongan semua orang. Saya teruja untuk terus memperbaiki diri dan menyumbang lebih banyak kejayaan pada masa hadapan,” katanya.

Ditanya mengenai sasaran seterusnya, atlet kelahiran Sarawak itu menjelaskan fokusnya kini adalah untuk meneruskan momentum yang dimiliki.

“Saya mahu lebih konsisten, cuba layak ke pentas final yang disiarkan di televisyen dan mungkin menang gelaran PWBA pertama saya suatu hari nanti,” katanya.

Dua lagi pemain negara turut melakar pencapaian membanggakan apabila Natasha Roslan menamatkan Kejohanan Akhir Jelajah di tempat ke-11 dengan 5,664 jatuhan pin, manakala juara bertahan, Sin Li Jane di tempat ke-23 menerusi 5,258 jatuhan pin. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |