TELUK INTAN – Empat lelaki terlepas hukuman penjara selepas Mahkamah Majistret di sini mengenakan bon berkelakuan baik selama enam bulan dengan jaminan RM500 atas kesalahan melakukan gaduh gempar ketika perlawanan bola sepak di Padang Speedy, minggu lalu.
Tertuduh, Harith Nazreen Shah Abd. Ghani, 21; Muhammad Danial Asmawi, 23; R. Tharmaraj, 28, dan E. Paranitharan, 29, dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.
Terdahulu, keempat-empat tertuduh yang juga pemain bola sepak bagi dua pasukan berjabat tangan dan bermaafan sebelum Naidatul Athirah memutuskan hukuman.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama seorang lagi yang masih bebas telah melakukan gaduh gempar di Padang Speedy, Teluk Intan antara pukul 5.15 hingga 6 petang, 7 Ogos 2025, sehingga mengganggu ketenteraman awam.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Darwis Aghniya Halim Azizi memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap kesemua tertuduh mengambil kira video pergaduhan itu yang tular selain pengajaran kepada orang ramai agar tidak bergaduh ketika perlawanan bola sepak.
Bagaimanapun, peguam M. Saravanan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili Harith Nazreen dan Muhammad Danial memohon hukuman ringan dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh tambahan lagi Harith Nazreen sedang menunggu keputusan untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah.
Sementara itu, peguam Charan Singh dan S. Morgan yang mewakili dua lagi tertuduh turut memohon mahkamah memberikan peluang kepada mereka memandangkan ia adalah kesalahan pertama dan kes berkenaan adalah kes saman, bukan jenayah.
“Mereka telah insaf atas kesalahan dilakukan. Mereka juga telah berkawan dan berjabat tangan menunjukkan teladan yang baik kepada mahkamah,” kata Charan Singh.
Pada prosiding sama, seorang lagi tertuduh, Muhamad Kuzairin Kamaruddin, 31, dijatuhi hukuman denda RM600 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Muhammad Syaffiq Syazwan Baharom, 23, di lokasi, masa dan tarikh sama.
Muhamad Kuzairin juga berhadapan hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Pertuduhan terhadap lelaki itu dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Menerusi laporan media pada 8 Ogos lalu, tujuh lelaki ditahan susulan pergaduhan ketika separuh masa kedua perlawanan bola sepak di Padang Speedy.
Difahamkan, kejadian pada pukul 5 petang itu bermula apabila seorang pemain melakukan terjahan keras terhadap pemain pasukan lawan sehingga mengakibatkan pertelingkahan antara mereka.
Pertelingkahan itu kemudian menyebabkan pergaduhan besar membabitkan semua pemain serta dua penonton selain pengadil yang turut diserang oleh beberapa individu. – KOSMO! ONLINE