PASIR SALAK – Felcra Berhad (Felcra) mencatatkan prestasi cemerlang dengan meraih keuntungan boleh agih bagi tempoh Januari hingga April lalu berjumlah RM101 juta menerusi Projek Penyatuan dan Pemulihan (P&P).
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah itu akan diagihkan kepada 74,300 peserta di seluruh negara melibatkan 646 projek menguntungkan.
Katanya, jumlah keuntungan itu menunjukkan Felcra berjaya mengekalkan prestasi baik iaitu kenaikan hampir RM2 juta berbanding prestasi bagi tempoh sama tahun lalu.
“Saya tahu ada yang ternanti-nantikan pengumuman Keuntungan Boleh Agih Interim 1, Tahun 2025. Untuk makluman semua, prestasi keseluruhan projek P&P Felcra Berhad sehingga April 2025 adalah berjumlah RM178 juta. Daripada jumlah itu, saya mengumumkan bahawa bayaran jumlah Keuntungan Boleh Agih Interim 1, Tahun 2025, Projek-projek peserta Felcra adalah berjumlah RM101 juta.
“Sudah tentu agihan keuntungan ini akan memberi manfaat kepada 74,300 peserta di seluruh negara dan keuntungan tersebut akan dibayar kepada peserta secara berperingkat mulai hari ini,” katanya pada Majlis Pengisytiharan Keuntungan Boleh Agih Interim 1/2025 Projek-projek Peserta Felcra Berhad di Pekarangan Pusat Benih Padi, Felcra Plantation Sdn. Bhd., Felcra Berhad Seberang Perak di sini hari ini.
Menurut beliau, agihan itu diharap bukan sahaja menjadi suntikan kewangan, tetapi juga pembakar semangat kepada semua peserta untuk terus memajukan projek masing-masing.
Dalam pada itu beliau berkata, selain mencatatkan prestasi cemerlang, Felcra turut melakar satu lagi sejarah penting dalam usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara melalui pengkomersialan Padi Felcra MRQ 107 iaitu varieti padi wangi tempatan yang menjadi alternatif berkualiti kepada beras wangi import. – KOSMO! ONLINE