Farm Fresh berjaya teraju industri tenusu negara

13 hours ago 6

SELAMA – Perdana Menteri telah mengunjungi Kompleks Tenusu Farm Fresh di Pondok Tanjung di sini hari ini sempena Karnival Usahawan Tenusu MADANI.

Lawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bagi menyaksikan kejayaan transformasi industri tenusu negara yang memberi limpahan manfaat besar kepada ekonomi dan masyarakat setempat.

Kompleks berkenaan merupakan bukti realisasi pelaburan langsung domestik yang diterajui oleh Farm Fresh Berhad hasil fasilitasi oleh Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) melalui program peningkatan teknologi dan pembangunan bakat yang dilaksanakan di Perak.

Anwar berpeluang melawat kawasan ladang ketika sesi lawatan sewaktu Karnival Usahawan Tenusu MADANI di Farm Fresh Perak, diiringi Azmi Zainal.

Pembangunan ini telah mewujudkan lebih 150 peluang pekerjaan berkemahiran untuk penduduk tempatan yang sebahagian besarnya diisi oleh golongan belia berumur di bawah 30 tahun.

Di samping itu, ia turut menjana peluang keusahawanan kepada lebih 350 usahawan dan ejen pengedaran susu di negeri Perak dan hampir 1,200 orang di seluruh negara.

Ia terdiri dari pada 80 peratus suri rumah tangga, termasuk dalam kalangan asnaf dan B40 melalui program Usahawan Kasih MADANI yang dilaksanakan bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Majlis Agama Islam Perak.

Kompleks Tenusu Farm Fresh di Perak kini merupakan antara fasiliti tenusu paling moden di Asia Tenggara dengan kapasiti pengeluaran 33,000 liter susu sehari.

Produk yang dikeluarkan ialah susu segar pastur, air krim dan mentega.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal berkata, ia bukan sekadar menyambut kehadiran Perdana Menteri ke kilang itu.

Tetapi katanya, ia adalah detik memperingati perjuangan syarikat itu membangunkan satu ekosistem luar bandar yang lestari dan berimpak tinggi.

“Kami bukan hanya melabur pada infrastruktur atau pengeluaran produk tenusu. Kami sedang melabur pada manusia. Pada masa depan anak muda kampung.

“Kami percaya bahawa kejayaan sesebuah syarikat bukan diukur semata-mata daripada angka jualan atau pertumbuhan pasaran. Ia diukur daripada sejauh mana syarikat itu mampu membawa manfaat kepada komuniti sekelilingnya,”ujarnya.

Azmi bersama Anwar ketika sesi lawatan ke kompleks berkenaan hari ini.

Untuk makluman, Farm Fresh Perak ini mula dibangunkan pada tahun 2020 dan mula beroperasi serta berhasil pada tahun 2023.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Mohamad Haris Kader Sultan berkata, inisiatif seperti itu membuktikan bahawa kolaborasi antara agensi kerajaan dan sektor swasta boleh menghasilkan penyelesaian inovatif yang memberi impak besar kepada ekonomi dan
masyarakat.

“Kejayaan Farm Fresh ini merupakan contoh terbaik bagaimana syarikat tempatan boleh bersaing di peringkat global dengan menyepadukan teknologi terkini, termasuk aplikasi Kecerdasan Buatan (AI), dalam operasi harian.

“Pendekatan ini selaras dengan agenda AI negara yang menekankan inovasi, kecekapan dan ketelusan, serta seiring dengan visi Kerajaan MADANI untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan agro-teknologi dan pertanian moden di rantau ini,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |