RATU boling padang negara, Nor Farah Ain Abdullah langsung tidak gusar kehilangan status ranking pertama dunia selepas kecederaan bahu memaksanya berehat panjang musim ini.
Pemain berusia 25 tahun itu sebelum ini menghuni takhta No. 1 dunia, namun kini jatuh ke kedudukan ke-18 akibat terlepas beberapa kejohanan utama termasuk Piala Dunia yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur (KL) pada November depan.
“Alhamdulillah kecederaan hampir pulih sepenuhnya dan saya sudah mula kembali berlatih. Cuma saya terpaksa lepaskan beberapa kejohanan besar tahun ini kerana masih dalam proses pemulihan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad.
Farah turut menjelaskan kegagalannya menempah tiket ke Piala Dunia berpunca daripada prestasi yang terbatas ketika sesi pemilihan ekoran kecederaan belum benar-benar sembuh.
“Ketika pemilihan Piala Dunia, saya tidak beraksi dengan baik kerana masih dalam pemulihan. Jadi tidak rezeki untuk saya beraksi kali ini,” jelasnya.
Meskipun menyedari kedudukannya merosot jauh dalam carta ranking dunia, Farah tidak tertekan kerana percaya peluangnya masih terbuka luas.
“Saya okey jika ranking jatuh kerana kebanyakan pemain di atas adalah senior. Saya masih muda dan masih ada banyak masa untuk kejar balik kedudukan itu,” ujarnya.
Berdasarkan kemas kini World Bowls Series, pemain England, Emily Kernick kini menghuni tangga No. 1 dunia dengan 787 mata, manakala Farah sekadar di tangga ke-18 menerusi 458 mata.
Bagaimanapun, bekas juara dunia itu sudah menyusun perancangan jangka panjang dengan meletakkan sasaran membuat penampilan pertama di pentas Sukan Komanwel Glasgow 2026.
“Sebelum itu ada beberapa kejohanan antarabangsa lain yang perlu saya sertai untuk buktikan prestasi dan mahu pastikan diri benar-benar bersedia untuk penampilan sulung itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE