
- Oleh MEJA SUKAN KOSMO!
- 17 Ogos 2025, 12:13 am
LONDON – Pasukan Tottenham Hotspur menepati ramalan apabila berjaya meraih tiga mata dengan menewaskan Burnley 3-0 pada aksi pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) sebentar tadi.
Meskipun masih segar dengan kekalahan aksi Piala Super Eropah awal pagi Khamis lepas, Spurs dilihat kekal tenang apabila mudah mendominasi perlawanan sejurus wisel permulaan ditiupkan.
Pasukan tuan rumah hanya memerlukan masa 10 minit untuk mendahului hasil penyudah Richarlison selepas menerima hantaran Mohamed Kudus.
Richarlison terus mempamerkan ketajaman apabila meledak gol kedua pada minit ke-60 selain penyudah Brennan Johnson berselang enam minit kemudian melengkapkan kemenangan bergaya Spurs.
Sementara itu, pendatang baharu EPL, Sunderland melakar kejutan tersendiri apabila menewaskan West Ham 3-0 di Stadium of Light.
Gol-gol The Black Cats dijaringkan oleh Elizier Mayenda pada minit ke-61, Dan Ballard (m-73) dan Wilson Isidor (m-90) untuk memulakan saingan EPL musim ini dengan langkah kanan. – AGENSI