LONDON – Penyerang baharu Arsenal, Viktor Gyokeres bakal membuat aksi debut Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama pasukan itu pada perlawanan pembuka tirai menentang Manchester United di Old Trafford malam ini.
Perlawanan tersebut bukan sahaja membuka peluang buat Gyokeres membuktikan kualiti, tetapi cukup penting buat Arteta untuk membuktikan kemampuan Arsenal untuk memburu gelaran juara EPL musim ini.
Kehadiran Gyokeres dianggap penamat kepada proses pencarian penyerang tulen buat The Gunners apabila kegagalan mereka sebelum ini dikaitkan dengan keengganan Arteta untuk mendapatkan pemain di posisi berkenaan.
“Saya boleh bercakap semua mengenai Viktor dan kami sangat gembira dia berada di sini. Dia akan memberikan impak kepada pasukan dan cara dia menyesuaikan diri bersama pemain-pemain lain sangat baik.
“Ramai penyerang dari liga lain tiba di EPL dan mencipta kejayaan. Ia tanggungjawab kami untuk memberikan bimbingan terbaik kepada Viktor untuk melakukan yang terbaik dan menjaringkan gol.
“Dia akan bertambah baik setiap hari. Tahap kecergasannya juga berada pada tahap terbaik selepas dua aksi pramusim bersama kami. Jadi, kita akan lihat apa yang dia mampu berikan kepada pasukan pada perlawanan pertama nanti,” jelasnya.
Sementara itu, Arteta juga mengesahkan bahawa dua lagi pemainnya, Martin Zubimendi dan Leandro Trossard tidak berdepan sebarang masalah untuk diturunkan biarpun kedua-dua mereka sebelum ini dikaitkan dengan isu kecergasan.
Dalam pada itu, pengurus dari Sepanyol berkenaan mengesahkan bahawa tugas selaku ketua pasukan kekal digalas oleh Martin Odegaard biarpun legenda Arsenal, Tony Adams sebelum ini mencadangan nama Declan Rice sebagai pengganti.
“Keputusan memberikan tugas itu kepada Odegaard bukan dibuat oleh saya sendirian, tetapi semua staf dan pemain yang melakukan undian. Jadi, saya sudah mendapat keputusannya apabila semua memilih Martin Odegaard,” jelasnya. – AGENSI