EPL: Amorim sahkan Sesko beraksi

3 hours ago 3

MANCHESTER – Pengendali Manchester United, Ruben Amorim mengesahkan bahawa bintang baharu di bahagian serangan, Benjamin Sesko bersedia untuk diturunkan menentang Arsenal di Old Trafford malam ini.

Pengurus dari Portugal itu dijangka menurunkan skuad terkuat termasuk menyenaraikan dua lagi pemain baharu, Matheus Cunha dan Bryan Mbeumo pada perlawanan tersebut yang menjadi penanda aras penting untuk United musim ini.

Musim lalu menyaksikan United mengharungi kempen terburuk dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila mengakhiri saingan di kedudukan ke-15 menyebabkan mereka berbelanja besar pada jendela perpindahan kali ini dengan membawa masuk muka baharu.

“Dia (Sesko) tidak mempunyai masa yang lama untuk berlatih bersama pasukan, tetapi secara fizikalnya, dia sudah bersedia. Dia adalah pemain yang bijak apabila sentiasa berfikir untuk mencari ruang dan melakukan penyudah.

“Saya fikir dia sudah bersedia untuk mengharungi cabaran di EPL, tetapi kita akan tengok nanti apa yang akan berlaku. Sesko memiliki potensi yang hebat dalam setiap apa yang dilakukan.

“Dia mampu bermain dengan cara yang berbeza, tetapi kali ini dia akan menikmati corak permainan agresif di England dan belajar mengenainya.

“Kami membayarnya dengan nilai yang mahal untuk membolehkan dia kekal lama bersama pasukan ini dan mencipta sejarahnya tersendiri di kelab ini,” kata Amorim.

Amorim mengakui berpuas hati dengan sikap yang ditunjukkan oleh Sesko setakat ini terutama obsesnya mengenai bola sepak yang dianggap luar biasa dan jarang dimiliki oleh para pemain muda.

“Saya tidak perlu memberitahunya, ‘Ben, ini adalah Manchester United, tekanan di sini tinggi, anda perlu memberikan aksi terbaik dan bersedia dari segi fizikal untuk setiap perlawanan kerana ia mengenai soal hidup atau mati’.

“Saya tidak terlalu bimbang mengenai dirinya, malah saya gembira apabila dia sudah mula menyesuaikan diri dengan baik bersama kelab dan rakan sepasukan,” jelasnya. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |