PETALING JAYA – Bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menggesa agar tragedi menimpa pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir dijadikan titik perubahan dalam usaha membanteras budaya buli di sekolah dan institusi berasrama.
Beliau menyifatkan kematian pelajar berusia 13 tahun itu sebagai kegagalan bersama masyarakat dalam melindungi nyawa seorang murid di tempat yang sepatutnya menjadi paling selamat iaitu sekolah.
“Kes ini bukan sekadar berita. Ia adalah tamparan kepada kita sebagai masyarakat bahawa seorang murid boleh hilang nyawa di tempat yang sepatutnya menjadi ruang paling selamat untuknya, sekolah.
“Sebagai bapa, pendidik dan mantan Menteri Pendidikan, saya tidak boleh diam. Kes Zara mesti menjadi titik perubahan. Kita tidak boleh biarkan nyawa anak-anak kita menjadi angka di dalam laporan polis atau statistik kementerian,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Dr. Maszlee turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga, rakan sekolah dan seluruh komuniti di Papar, Sabah, selain menghargai usaha pihak berkuasa menegakkan keadilan buat mangsa.
Bagi memastikan tragedi seumpama ini tidak berulang, beliau mengemukakan lima langkah segera yang boleh dilakukan antaranya sistem sokongan psikososial di semua sekolah.
“Tambah bilangan kaunselor sepenuh masa, warden asrama sepenuh masa dan saluran aduan yang mudah diakses.
“Platform aduan digital berasaskan AI (kecerdasan buatan) dimana murid boleh membuat aduan secara selamat melalui DELIMA atau aplikasi khusus, dipantau guru kelas dan guru kaunseling. AI boleh memberi amaran awal tentang kebarangkalian berlaku insiden buli dan cara mengelakkannya,” katanya.
Tambahnya, latihan wajib untuk guru dan staf sekolah agar mereka dapat mengenal pasti tanda awal buli, penderaan dan tekanan emosi.
“Konsep “jika nampak atau dengar buli, laporkan segera” mesti menjadi budaya. Menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) Sifar Buli di mana Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan semua institusi berasrama mesti jadikan penghapusan budaya buli sebagai penilaian prestasi tertinggi pentadbir
“Selain itu, tindakan pantas dan telus terhadap aduan supaya tiada aduan terlalu kecil. Buli adalah jenayah, di mana-mana ia berlaku dan siapa pun pelakunya,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa isu ini tidak wajar dipolitikkan, sebaliknya memerlukan kerjasama kementerian, pendidik, ibu bapa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), media dan masyarakat.
“Ini bukan soal politik. Ini soal nyawa anak-anak kita. Kita sudah terlalu lama menormalisasikan penderitaan murid di asrama. Budaya “diam demi nama baik sekolah” mesti dihentikan sekarang.
“Zara tidak akan kembali. Tetapi kita boleh pastikan tiada anak lain yang menjadi Zara berikutnya,” katanya.
Zara Qairina sebelum ini dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Kinarut, Papar, pada 16 Julai lalu. – KOSMO! ONLINE