KUALA LUMPUR – Kes remaja hamil di bawah umur 18 tahun mencatatkan peningkatan sebanyak 0.5 peratus iaitu 2,752 kes bagi tahun 2024 berbanding 2,737 kes pada tahun 2023.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, negeri yang mencatatkan jumlah tertinggi pada kedua-dua tahun tersebut adalah Sarawak, diikuti Sabah dan Pahang.
Beliau berkata, data awalan bagi tempoh Januari hingga Mac tahun 2025 pula merekodkan sejumlah 655 kes remaja hamil di bawah usia 18 tahun.
“Antara punca utama kehamilan remaja di Malaysia ialah kekurangan akses kepada pendidikan kesihatan reproduktif yang menyeluruh, yang menyebabkan ramai remaja tidak memahami dengan jelas cara melindungi diri daripada kehamilan tidak dirancang.
“Dapatan ini juga disokong oleh hasil Kajian Faktor Risiko dan Pelindung Remaja Terhadap Kesihatan Reproduktif dan Sosial yang diterbitkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada tahun 2019,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Doris Sophia anak Brodi (GPS-Sri Aman) mengenai status semasa peningkatan kes kehamilan dalam kalangan kanak–kanak (bawah umur 18 tahun) di setiap negeri dari 2023 hingga suku pertama 2025 dan jumlah kes, kadar peratusan pertumbuhan dan punca utama
mengikut negeri.
Sementara itu Noraini berkata, kajian yang dijalankan oleh United Nations Population Fund (UNFPA) pada tahun 2022 bertajuk “SRH Investment for Human Capital in Malaysia” menyatakan bahawa Pendidikan Kesihatan Reproduktif yang komprehensif mampu mengurangkan kehamilan remaja sebanyak 49 peratus, atau kira-kira 1,800 kelahiran hidup dalam tempoh lima tahun.
“Selanjutnya, satu kajian lain yang telah diterbitkan dalam Jurnal Psikologi Malaysia pada tahun 2020 turut menunjukkan menyenaraikan beberapa faktor lain seperti tekanan rakan sebaya dan pengaruh media khususnya pendedahan kepada kandungan seksual secara terbuka.
“Ini boleh membentuk norma serta persepsi yang mendorong remaja untuk mencuba atau bereksperimen,” katanya.
Katanya, dari sudut sosioekonomi pula, kemiskinan, keciciran sekolah, dan ketiadaan peluang pekerjaan juga dikenal pasti sebagai faktor yang meningkatkan kerentanan remaja terhadap risiko ini.
“Selain itu, latar belakang keluarga dan gaya hidup boleh menyumbang kepada peningkatan tingkah laku seksual berisiko.
“Bagi menangani isu kehamilan remaja, KPWKM menyeru pelbagai agensi untuk berganding bahu secara kolaboratif dalam memperkukuh dan memperluas inisiatif yang bersifat holistik, demi mencapai impak positif kepada kesejahteraan remaja di Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE