Dewan Rakyat: Bukan hanya Petronas, syarikat minyak lain turut kurangkan pekerja

7 hours ago 7

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan, pengurangan pekerja oleh syarikat minyak dan gas bukan hanya membabitkan Petronas, tetapi turut dilakukan oleh syarikat-syarikat minyak utama lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, British Petroleum mengumumkan pembuangan 6,200 pekerja menjelang akhir 2025, manakala Chevron pada Februari lalu mengumumkan pembuangan pekerja antara 8,000 hingga 9,000.

“Ini yang disebut rasionalisasi dan juga penstrukturan semula organisasi. Ini berlaku daripada semua syarikat-syarikat minyak utama dalam negara. Jadi bukan sesuatu yang asing dan ini termasuk semua syarikat-syarikat yang disebut Exxon Mobil, Shell, Aquino, ConocoPhillips, NSB.

“Saya tidak kata perkara ini ringan, memang memprihatinkan. Saya sendiri berbincang dengan Presiden dan CEO Petronas berulang kali tentang menangani masalah ini,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa (BN-Tampin) sejauh manakah langkah pengurangan 10 peratus tenaga kerja Petronas benar-benar perlu dibuat oleh syarikat tersebut.

Anwar berkata, antara sebab pembuangan pekerja peralihan daripada segi keberkesanan kerana menggunakan teknologi baharu termasuk pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) serta pertindihan dan berlebihan pekerja.

Bagaimanapun, katanya, pekerja yang mahu dihentikan secara berperingkat itu akan diserahkan kepada syarikat-syarikat yang ada termasuk melalui kerjasama dengan Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC)

Menurut beliau, perbincangan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk memberi latihan kepada pekerja terbabit dalam bidang lain turut dilakukan.

“Ketiganya, minima mereka mendapat jaminan gaji sepanjang tahun dan beberapa terma lain sebab kemudahan perubatan dan sebagainya. Jadi tidak dianggap sesuatu yang berlaku dalam pembuangan pekerja-pekerja biasa.

“Jadi ini yang telah ditetapkan kemudahan diberikan kepada 5,000 walaupun secara peringkat. Bermula dengan pekerja-pekerja kontrak terlebih dahulu, mereka kontrak, tamat kontrak kemudian dihentikan.

“Kemudian barulah dianggap fasa yang kedua dengan jaminan-jaminan tertentu, tentang kedudukan diri mereka dan keluarga mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |