KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuat permohonan kepada penyedia perkhidmatan media sosial bagi menurunkan 82,076 kandungan tidak bermoral dari 1 Januari 2022 sehingga 1 Julai lalu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kandungan tersebut dikenal pasti melanggar peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta undang-undang sedia ada yang lain.
Selain itu, katanya, MCMC amat prihatin terhadap kewujudan aplikasi dalam media sosial yang menawarkan perkhidmatan tidak bermoral kepada pengguna.
“Kewujudan aplikasi itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah memberi kesan negatif terhadap kesihatan mental masyarakat serta keselamatan pengguna, termasuk kandungan yang menyumbang kepada peningkatan gejala sosial.
“MCMC dan agensi penguat kuasa lain menjalankan operasi bersama seperti Ops Pedo dan Ops Noda bagi mengekang aktiviti tidak bermoral daripada berleluasa,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) berhubung usaha Kementerian Komunikasi menangani kewujudan aplikasi dalam media sosial yang menawarkan perkhidmatan tidak bermoral kepada pengguna.
Fahmi berkata, antara tindakan sekatan dikenakan terhadap ‘Grup Budak-Budak Sekolah Rendah’ kerana mempunyai unsur-unsur yang melanggar Seksyen 233 Akta 588 termasuk Child Sexual Abuse Material (CSAM) atau bahan penganiayaan seksual kanak-kanak.
Kata beliau, kerajaan melalui MCMC juga melaksanakan tapisan serta sekatan aplikasi yang menawarkan perkhidmatan tidak bermoral di platform seperti Google Play dan Apple Store.
Bagaimanapun, katanya, kawalan ke atas aplikasi dipaparkan di platform itu masih tertakluk kepada dasar dan peraturan yang ditetapkan oleh penyedia platform berkenaan, memandangkan kedua-dua platform itu dimiliki oleh syarikat asing yang beroperasi di luar negara.
“Tindakan muktamad penurunan kandungan tertakluk kepada penilaian dan pertimbangan penyedia perkhidmatan media sosial berdasarkan garis panduan komuniti ditetapkan oleh mereka serta aplikasi undang-undang tempatan yang relevan,” katanya. – KOSMO! ONLINE