KUALA LUMPUR – Sebanyak 230 murid sekolah rendah dikesan mempunyai masalah merokok dan 193 daripadanya telah menjalani intervensi berhenti merokok.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, bagi murid sekolah menengah pula, sebanyak 44, 211 dikesan mempunyai masalah merokok dan 36,870 telah menjalani intervensi berhenti merokok.
Beliau berkata, angka itu berdasarkan pelaksanaan program pencegahan dan intervensi berhenti merokok dalam kalangan pelajar sekolah melalui Program Kesihatan Oral Tanpa Amalan Merokok (KOTAK) yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM).
“KKM telah menerima lima laporan kematian yang berkemungkinan berkaitan dengan penggunaan rokok elektronik atau vape dari tahun 2019 hingga Jun 2025.
“Sehingga Jun 2025, KKM telah menerima sebanyak 83 laporan kes penyakit yang dikaitkan dengan penggunaan produk merokok, termasuk rokok elektronik atau vape,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) mengenai jumlah kematian berkaitan aktiviti menghisap rokok elektronik dan vape serta usaha KKM membendung pembabitan remaja dan kanak-kanak daripada terjebak menghisap alat berkenaan.
Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, daripada jumlah tersebut, 44 kes melibatkan komplikasi serius yang memberi kesan kepada paru-paru, manakala 39 kes lagi melibatkan komplikasi kesihatan lain yang tidak melibatkan paru-paru secara langsung.
“Walaupun terdapat kes kematian yang melibatkan individu yang menggunakan rokok elektronik atau vape, hubungan secara langsung antara penggunaan vape dengan punca kematian sukar disahkan, memandangkan keterbatasan bukti klinikal yang ada serta faktor-faktor lain yang turut menyumbang kepada kematian tersebut.
“KKM kini memperkukuh sistem survelan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian yang dikaitkan dengan produk merokok,” katanya. – KOSMO! ONLINE