PETALING JAYA – Kemelut hubungan pelakon Anna Jobling dengan ibunya, Ariz Arop, kembali berlarutan apabila wanita berkenaan mendakwa dirinya dikunci dalam sebuah kereta pada awal pagi Isnin lalu.
Ariz mendakwa, insiden itu berlaku sebaik Anna atau nama sebenarnya Anna Ellisa Gustin Jobling, 25, keluar dari kenderaan terbabit, meninggalkannya terperangkap di tempat duduk penumpang sekali gus membuatkannya berasa panik kerana gagal mencari jalan keluar.
“Ramai tanya kenapa tak buka tingkap. Tengok sendiri, enjin mati, memang tak boleh buka. Jelas kedengaran bunyi kunci lock.
“Saya cuba tarik pintu, tak boleh. Tekan butang buka pun tak menjadi. Terus panik, kepala rasa pening, badan menggigil, tak tahu nak buat apa,” katanya menerusi siaran langsung dalam TikTok.
Tambah Ariz, sebelum kejadian, berlaku pertengkaran kecil antara dia dan Anna sebelum anaknya itu dibawa keluar oleh seorang peguam yang turut berada di lokasi.
“Lepas bergaduh, bila keadaan reda saya cakap nak rehat sekejap. Dia tiba-tiba berubah wajah, suruh saya keluar dari kereta. Saya terasa hati.
“Elok dia keluar, kunci mak dalam kereta,” ujarnya .
Katanya lagi, ketika itu dia tidak pula berkelakuan seperti trauma atau histeria seperti didakwa.
“Ada ke dengar ke orang menjerit atau menangis teresak-esak? Tiada.
“Mereka bawa anak saya keluar, berjalan perlahan. Kalau kata trauma, langsung tak nampak. Oh, lupa anak saya pelakon,” sinisnya.
Isu melibatkan Anna mula menjadi perhatian selepas Ariz sendiri mengakui hubungannya dengan anak tunggal itu kini renggang.
Bagaimanapun, peguam kepada Anna dalam satu kenyataan menolak dakwaan berlaku pergelutan atau insiden mengunci ibu pelakon itu di dalam kenderaan.
Jelasnya, pintu kereta tersebut boleh dibuka dari bahagian dalam dan ketika kejadian, kenderaan tersebut sebenarnya tidak berkunci. – KOSMO! ONLINE