Chong Wei sertai ‘keluarga’ besar BAM

17 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuat perubahan besar terutama menentukan hala tuju sukan itu selepas melantik legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei sebagai ahli majlis badan induk itu, hari ini.

Pelantikan bekas pemain No. 1 dunia itu diumumkan oleh Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Tengku Zafrul berkata, pelantikan Chong Wei adalah sebahagian daripada barisan berpengaruh yang diberi tanggungjawab khusus terutama pembangunan atlet dan prestasi pemain negara.

“Kita mempunyai kuota untuk melantik lima ahli majlis dalam kalangan bukan wakil negeri. Jadi, saya memberikan empat nama. Pertama, yang tidak perlu diperkenalkan lagi, Datuk Seri Lee Chong Wei,” kata Tengku Zafrul ketika membentangkan pelan strategik komprehensif ‘Tangkis 2030’ mengenai aspirasi dan hala tuju baharu badminton negara.

KUALA LUMPUR, 16 OGOS 2025 – Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hadir di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di sini, hari ini. Gambar; MUHAMAD IQBAL ROSLI

Selain, Chong Wei tiga lagi tokoh korporat terkemuka iaitu Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) , Tan Sri Gooi Hoe Soon (Kewangan), bekas CEO NTV7, Datuk Seri Shazalli Ramly (Penjenamaan dan Strategi Media), dan Peguam Datuk Sunil Abraham (Perundangan).

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul menyatakan pelantikan ini bukan sekadar simbolik, tetapi menunjuklan BAM serius untuk membawa tokoh berpengalaman dalam menentukan hala tuju badminton negara.

Tegasnya, kehadiran Chong Wei diyakini mampu menjadi jambatan antara pengurusan BAM dengan pemain, jurulatih serta komuniti badminton yang masih menyanjung pandangan beliau sebagai legenda dunia.

“Apabila beliau bersuara soal persediaan atlet, ia lahir daripada pengalaman sebenar sebagai bekas pemain No. 1 dunia, dan itu akan beri kesan besar.

“BAM perlukan suara seperti ini supaya hala tuju baharu kita tidak hanya cantik di atas kertas, tetapi benar-benar diterjemahkan di gelanggang,” tambahnya.

Tengku Zafrul dalam pada itu turut menggariskan tiga sasaran utama dalam jangka masa terdekat iaitu memenangi Piala Thomas pada 2026, meraih pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik Paris 2028 serta memastikan ada pemain negara menduduki ranking No. 1 dunia dalam sekurang-kurangnya tiga daripada lima kategori. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |