‘Buli boleh akibatkan kematian, lega ramai sokong saya bersuara’

11 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Pelakon Sophia Albarakbah terharu melihat ramai individu termasuk rakan artis menzahirkan sokongan terhadapnya susulan tindakannya membuat laporan polis berhubung dakwaan menjadi mangsa buli siber dan gangguan seksual baru-baru ini.

Sophia atau Sharifah Sophia Syed Abdul Rahman, 32, berkata, tindakannya itu sekali gus membuka mata ramai bahawa buli siber bukan satu hal yang perlu dipandang remeh kerana terdapat kes yang mengundang kepada kematian.

“Ramai rakan artis beri sokongan pada saya menerusi ruangan mesej dan sebagainya. Mungkin mereka faham dan pernah melalui situasi sama.

“Kata mereka terima kasih sebab memperjuangkan isu ini sebab masih ramai mangsa buli yang takut nak ke depan.

“Jangan pandang rendah isu buli sebab ada kes yang sampai menyebabkan kematian orang, bersuaralah kalau perlu untuk selamatkan diri,” katanya yang ditemui pada majlis memperkenalkan barisan duta baharu Amber di sini, semalam.

Berkongsi tentang perjalanan kesnya, dia diminta untuk hadir ke pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) minggu depan bagi memberikan keterangan berhubung kes tersebut.

“Selepas buat laporan polis tempoh hari, minggu depan saya akan ke pejabat MCMC untuk beri kenyataan di sana. Sekarang barulah ada rasa lega sedikit.

“Saya buat perkara ini bukan untuk diri sendiri tetapi untuk semua orang, terutamanya rakan selebriti, sebab saya rasa golongan ini kerap jadi mangsa buli siber.

“Perkara ini bukan sesuatu yang patut dinormalisasikan, apatah lagi sekarang kecoh isu adik Zara Qairina, buli boleh akibatkan kematian,” ujarnya.

Ujarnya, pendedahan dalam Instagram baru-baru ini dengan memaparkan akaun dan konten negatif segelintir individu sedikit sebanyak membuka mata terhadap mereka yang menganggap perkara tersebut sebagai perkara remeh.

“Kes kematian akibat bunuh diri disebabkan buli siber sangat tinggi seperti di Korea Selatan. Syukur negara kita tak begitu, tapi kes seperti itu memang wujud.

“Sebelum ini ada yang cakap saya mengada-ngada sebab buat laporan polis tetapi selepas saya muat baik bukti dalam Instagram, barulah mereka faham.

“Lepas saya dedah bukti, barulah semua orang muka buka mata bahawa perkara ini memang sangat melampau,” ujarnya.

Pada Sabtu lalu, Sophia membuat laporan polis di Balai Polis Travers, Kuala Lumpur selepas mendapat kecaman melampau termasuk gangguan seksual dalam
media sosial.

Kecaman tersebut semakin memburuk selepas dia memenangi trofi Selebriti Feminin Terhangat pada satu majlis anugerah baru-baru ini.

Menurut peguam yang mewakilinya, Aizat Azam, komen yang diterima bukan sahaja berunsur penghinaan malah turut melibatkan ugutan seksual secara terbuka sehingga memberi kesan terhadap kesihatan mental anak guamnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |